Wujudkan saluran betul bagi atlet lapor gangguan seksual, PH beritahu kerajaan

Wujudkan saluran betul bagi atlet lapor gangguan seksual, PH beritahu kerajaan

Ketua Wanita PH, Chong Eng berkata, ia akan membolehkan tindakan sewajarnya diambil terhadap pelaku.

Perenang negara Cindy Ong mendedahkan beliau mengalami serangan seksual ketika usia remaja dan jurulatih yang didakwa terlibat turut melakukan perkara sama terhadap atlet lain. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kementerian Belia dan Sukan sepatutnya mewujudkan satu saluran bagi atlet untuk membuat aduan berhubung gangguan seksual, kata Ketua Wanita Pakatan Harapan, Chong Eng.

Beliau berkata, kementerian juga sepatutnya menyiasat dakwaan perenang negara Cindy Ong yang dikatakan diserang secara seksual ketika beliau remaja.

“Bagi penyelesaian jangka panjang, satu saluran yang betul perlu diwujudkan bagi mangsa mengemukakan aduan dan ini dapat memberi tindakan sewajarnya diambil,” katanya dalam satu kenyataan.

Chong berkata, saluran khas dapat membantu mencegah daripada insiden seperti itu berulang terhadap atlet dan kakitangan, pada masa sama membantu Ong membuat laporan kepada pihak polis.

“Ada sebab kemungkinan kes seperti ini tidak banyak dilaporkan di mana ramai yang menderita dalam diam kerana takut diugut atau disingkirkan daripada menyertai kejohanan sukan jika mereka bersuara,” kata beliau.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Pembangunan Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Agama Islam, berkata walaupun media dapat mengetengahkan kes penderaan seksual, ia tidak dapat menyelesaikan sepenuhnya masalah berkenaan.

Tambah beliau, Jawatankuasa Perwakilan Atlet Majlis Sukan Negara serta Jawatankuasa Kesalahan dan Gangguan dalam Sukan serta Suruhanjaya Atlet, di bawah Majlis Olimpik Malaysia, mesti menjadi entiti yang berkesan bagi mereka yang terbabit membuat aduan terhadap gangguan seksual.

Awal minggu ini, Ong memberitahu Malaysiakini mengenai pengalamannya sebagai atlet kebangsaan diganggu secara seksual selama bertahun-tahun, termasuk kejadian di mana seorang jurulatih renang menyentuh payudaranya.

Beliau juga mendakwa bahawa jurulatih yang sama telah menyerang secara seksual sekurang-kurangnya 10 atlet lain.

Seorang lagi perenang negara, yang enggan dikenali, juga mendakwa jurulatih itu beronani di hadapan perenang lelaki yang menurutnya sedang tidur.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.