
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata MPM juga akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada Liek Hou kerana mengatakan seolah-olah dirinya dan pemenang pingat emas Paralimpik Paris yang lain “ditipu”.
Beliau dalam catatan di media sosial berkata, penggunaan istilah “scam” menimbulkan kekeliruan.
“Pada masa depan, semua ganjaran (untuk Paralimpik) akan disertakan ‘template’ bertulis supaya lebih jelas dan telus (seperti ‘template’ Road To Gold).
“Kini, kita akan bergerak ke hadapan agar atlet dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada latihan dan pertandingan. KBS (Kementerian Belia dan Sukan) sentiasa bersama atlet negara dalam perjuangan mereka mengharumkan nama Malaysia.”
Yeoh turut mengucapkan terima kasih kepada syarikat swasta lain yang menghubungi pejabatnya untuk menambah ganjaran tunai bagi pemenang pingat emas Paralimpik.
Liek Hou memenangi emas dalam acara badminton perseorangan lelaki SU5 (masalah fizikal) di Paralimpik Tokyo 2020 dan mempertahankan kejuaraannya dalam temasya di Paris tahun lalu.
Minggu lalu, beliau melalui Instagram menyuarakan kekecewaannya kerana masih menunggu insentif tunai RM60,000 yang dijanjikan MPM selepas memenangi pingat emas Sukan Paralimpik 2024.
Presiden MPM, Megat D Shahriman Zaharudin, mempersoalkan dari mana datangnya janji RM60,000 itu kerana tiga syarikat pada awalnya menjanjikan sokongan kepada pemenang pingat dan MPM kini menerima RM88,000 daripada seorang penaja untuk diagihkan kepada atlet.
Tetapi, Bernama pada Ogos 2024 memetiknya berkata, pemenang pingat emas Paralimpik Paris masing-masing akan menerima insentif tunai RM60,000 yang dijanjikan tiga syarikat.
Khamis lalu, Megat dilaporkan berkata, pihaknya sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang dan menggantung Liek Hou atas kenyataannya di media sosial kerana merosakkan imejnya serta boleh menghalang penajaan masa depan.
Liek Hou dan pemenang pingat emas lain akhirnya menerima RM25,000 setiap seorang berbanding RM60,000 manakala pemenang pingat perak menerima RM15,000 dan gangsa RM8,000, dengan bayaran dibuat Khamis lalu.