Lelaki mohon maaf komen lucah pada wanita di ‘live’ TikTok

Lelaki mohon maaf komen lucah pada wanita di ‘live’ TikTok

Wanita yang dirakam dalam video berkenaan dilaporkan sudah membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi.

hazren rich empire sexual harassment
Tangkap layar video siaran langsung yang dibuat lelaki itu dan permohonan maaf yang dibuatnya.
PETALING JAYA:
Seorang lelaki memohon maaf kepada ‘seluruh rakyat Malaysia’ selepas membuat komen berunsur lucah terhadap seorang wanita tidak dikenali di sebuah restoran dalam satu siaran langsung di TikTok.

Lelaki itu yang membuat komen menerusi akaun TikTok ‘Hazren Rich Empire’ (@hazrenrich54) yang kini sudah tidak lagi aktif, berkata dia terikut-ikut dengan komen pengguna lain yang mengikuti siaran langsung berkenaan.

“Anggaplah apa dalam video itu satu kesilapan. Kita sebagai manusia tidak pernah tidak membuat silap. Jadi ini adalah kesilapan pertama kali saya.

“Jadi saya minta maaf kepada semua sekali. Selepas ini siapa mahu komen dan cakap saya bodoh atau apa semua, itu terpulang pada anda. Saya pun sudah minta maaf,” katanya dalam satu video yang pada mulanya dikongsi di akaun TikTok @hazrenrich54 sebelum ia dipadamkan dan dikongsi semula di akaun @markyen_60.

Lelaki itu juga mempertahankan isterinya yang ketawa ketika sesi siaran langsung itu, dan berkata isterinya bukan ketawa mendengar komen lucahnya tetapi apa yang ditulis pengguna lain.

“Dia tiada kaitan pun,” katanya.

Dalam video siaran langsung yang kini tular itu, menunjukkan lelaki itu makan di sebuah restoran bersama isterinya sebelum dia membuat komen mengenai seorang wanita yang duduk di meja sebelah mereka.

Dia juga mendakwa wanita berkenaan tidak memakai baju dalam dan berkata mahu memeluk serta meraba wanita itu dari belakang.

Video berkenaan mendapat kecaman pengguna media sosial yang menganggap tindakan lelaki itu seperti satu bentuk gangguan seksual dan merendahkan martabat wanita.

Difahamkan wanita dalam video berkenaan sudah membuat laporan polis mengenai video tersebut di Balai Polis Dang Wangi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.