SOP PKP 3.0 lebih ketat, perniagaan hanya dibenar operasi 8 pagi hingga 8 malam

SOP PKP 3.0 lebih ketat, perniagaan hanya dibenar operasi 8 pagi hingga 8 malam

Peraturan baharu itu berkuat kuasa 25 Mei ini bagi memudahkan aktiviti harian dikawal dan mengelak kesesakan lalu lintas.

PETALING JAYA: Waktu operasi perniagaan di seluruh negara hanya dibenarkan bermula jam 8 pagi hingga 8 malam di bawah perintah kawalan pergerakan 3.0, kata Menteri Kanan Keselamatan, Ismail Sabri Yaakob.

Dalam sidang media bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, Ismail berkata peraturan baharu itu akan mula berkuat kuasa 25 Mei ini.

Ismail berkata, bagaimanapun waktu operasi bagi farmasi kekal bermula jam 8 pagi hingga 10 malam.

Selain itu, beliau turut mengumumkan bahawa 80% penjawat awam dikehendaki bekerja dari rumah dan ia turut dilaksanakan membabitkan 40% pekerja sektor swasta .

“Seramai 7 hingga 8 juta tak (datang) bekerja akan memudahkan kita kawal aktiviti harian dalam kalangan rakyat, dan saya percaya takkan ada kesesakan jalan raya seperti yang ada hari ini.

“Apa yang dilakukan dengan SOP diperketatkan yang lebih penting adalah disiplin diri kita sendiri bagaimana untuk adakan kawalan kendiri untuk pastikan tiada jangkitan, yang penting rakyat patuhi setiap SOP dikeluarkan,” katanya.

Bagi pengangkutan awam pula, Ismail berkata, kapasiti penumpang dihadkan kepada 50% penumpang sahaja sebagaimana yang dilaksanakan pada PKP 1.0.

Ismail berkata, kerajaan tidak mahu melaksanakan PKP secara keseluruhan bagi memastikan rakyat yang bergantung hidup dengan menjalankan perniagaan kecil-kecilan tidak terjejas dan hilang sumber pendapatan.

Katanya, walaupun PKP menyeluruh tidak dilaksanakan, namun PKP bersasar dijalankan melalui PKPD.

“‘Lockdown’ dilaksanakan secara bersasar di kawasan PKPD, tetapi ia kawasan berdasarkan lokaliti tertentu yang dikelilingi kawad besi dan tidak boleh keluar rumah, dan aktiviti perniagaan tak dibenarkan kecuali kedai runcit dan sebagainya.

“Walaupun susah nak beri pertimbangan seperti ini, paling mudah melalui ‘total lockdown’…tetapi kesannya adalah bagaimana rakyat kita yang miskin meneruskan penghidupan (jika PKP penuh dilaksanakan),” katanya.

Katanya, langkah kerajaan untuk tidak melaksanakan PKP menyeluruh juga dibuat bagi menyelamatkan kesihatan mental rakyat.

Beliau berkata, pada PKP 1.0 banyak kes membabitkan masalah mental dilaporkan termasuk kes bunuh diri, seterusnya kerajaan tidak mahu rakyat terus menderita kerana tertekan dan hilang pendapatan akibat pelaksanaan PKP menyeluruh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.