Larian Keluarga Malaysia edisi kedua dijangka lebih meriah

Larian Keluarga Malaysia edisi kedua dijangka lebih meriah

Acara 15 Nov di Padang Merbok dijangka tarik lebih ramai peserta, tawar hadiah cabutan bertuah menarik dan diskaun khas penyertaan.

Ismail Sabri
Ismail Sabri Yaakob bersama penyampai berita FMT Nur Hailee Izzati pada sesi temu bual mempromosikan Larian Keluarga Malaysia edisi kedua.
PETALING JAYA:
Larian Keluarga Malaysia (LKM) edisi kedua pada 15 Nov ini dijangka berlangsung lebih meriah susulan penganjurannya di tengah ibu kota yang mudah diakses, selain pelbagai tarikan tambahan buat peserta.

Pengerusi Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) Ismail Sabri Yaakob berkata walaupun sasaran kekal 3,000 peserta, sambutan tahun lalu yang mencecah sekitar 5,000 orang memberi keyakinan edisi kali ini mampu mencatat penyertaan lebih besar.

“Tahun ini kita buat di Padang Merbok. Oleh kerana lokasinya di Kuala Lumpur lebih mudah diakses berbanding Cyberjaya (tahun lalu), saya jangka lebih ramai akan menyertai.

“Bagaimanapun, sasaran kita tetap sama iaitu 3,000 orang,” katanya dalam temu bual bersama FMT, rakan media rasmi LKM.

Program itu menawarkan tiga kategori iaitu Family Run (3km), Fun Run (5km) dan Road Race (10km) dengan harga penyertaan antara RM40 hingga RM70 bagi tempahan awal sehingga 30 Sept.

Peserta juga boleh menikmati tambahan diskaun 10% dengan menggunakan kod promo FMTLKM2025.

Setiap peserta akan menerima beg, kemeja-T rasmi, medal penyertaan serta berpeluang menyertai cabutan bertuah dengan hadiah utama yang hanya akan diumumkan pada hari pelancaran.

“Hadiah utama saya kena rahsiakan dulu, tunggu pelancaran. Tahun lepas, hadiah utamanya sebuah Perodua Axia,” katanya sambil menjelaskan program itu sebagai platform bersukan dan menyumbang.

Bekas perdana menteri itu berkata inisiatif berkenaan bertujuan mengumpul dana untuk membantu kira-kira 1,000 anak yatim yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19 yang menjadi anak angkat YKM.

Menurut Ismail Sabri, sumbangan akan digunakan bagi bantuan bulanan RM200 sebulan untuk anak 15 tahun ke bawah manakala RM250 sebulan untuk berumur 16 tahun hingga tamat ijazah pertama.

“Kita tidak mahu bergantung semata-mata kepada dana RM5 juta daripada kerajaan. Jadi, larian ini dianjurkan untuk meningkatkan kutipan dana.

“Paling penting, larian ini juga dapat memberi kesedaran kepada syarikat besar supaya menderma kepada anak yatim sama ada melalui sumbangan atau dengan mendaftarkan kakitangan mereka dalam program ini,” katanya.

Layari pautan ini untuk mendaftar dan ikuti saluran media sosial Larian Keluarga Malaysia bagi maklumat lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.