
Ketua Polis Daerah Manjung, Nor Omar Sappi berkata, dalam kejadian 11.30 pagi itu, wanita itu meninggalkan anaknya yang berusia 12 tahun di dalam kereta dengan enjin dan pendingin hawa dihidupkan, untuk membeli barang di kedai haiwan.
Sejurus keluar dari kedai itu, katanya, mangsa mendapati Perodua Bezza miliknya tiada di tempat letak kereta dan ternampak seorang lelaki tidak dikenali membawa lari kereta bersama anak perempuannya.
“Mangsa cuba menghalang keretanya, namun suspek memecut laju dan melarikan diri.
“Dengan bantuan orang awam di lokasi kejadian, suspek ditangkap dan kereta serta anak mangsa diselamatkan. Kanak-kanak itu dalam keadaan baik,” katanya dipetik Bernama dalam kenyataan hari ini.
Nor Omar berkata, pihaknya dimaklumkan orang awam mengenai kejadian itu dan bergegas ke lokasi kejadian sebelum menahan suspek berusia 24 tahun itu.
Katanya, hasil saringan awal ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
“Semasa kejadian, kereta berkenaan tidak berkunci. Bagaimanapun, kita masih menyiasat motif sebenar dan suspek masih tidak dapat disoal siasat kerana di bawah pengaruh dadah.”
Beliau berkata, suspek kini ditahan untuk disiasat di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan akan dibawa ke Mahkamah Seri Manjung untuk permohonan reman.