
Seruan itu susulan penahanan membabitkan beberapa kanak-kanak di Kuala Lumpur dan Johor baru-baru ini.
Menurut laporan media, dalam satu kejadian, dua kanak-kanak lelaki berusia 12 dan 13 tahun, adalah antara empat yang ditahan kerana disyaki melontar mercun ke arah polis di sebuah kompleks pangsapuri di Sentul semasa Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.
Sementara itu, di Batu Pahat, tiga kanak-kanak lelaki adalah antara yang ditahan kerana terbabit dengan demonstrasi “kerajaan gagal”.
Kedua-dua kejadian itu berlaku pada 13 Mei.
Pesuruhjaya Kanak-Kanak SUHAKAM Noor Aziah Mohd Awal berkata dalam kedua-dua kejadian itu, kanak-kanak itu digari, diambil gambar dan ditahan di lokap polis.
“Pesuruhjaya kanak-kanak ingin menekankan di sini bahawa penahanan ini bertentangan dengan Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611) dan Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak (CRC).
“Berdasarkan Seksyen 83A Akta 611, seorang kanak-kanak yang ditangkap tidak boleh digari, dan ibu bapa atau penjaga kanak-kanak perlu dimaklumkan berhubung keberadaan kanak-kanak berkenaan.
“Mengikut akta dan CRC yang sama, identiti kanak-kanak perlu dilindungi dan tidak boleh didedahkan. Kanak-kanak itu juga berhak untuk berunding dengan peguam pilihannya. ”
Noor Aziah menegaskan Akta Kanak-kanak 2001 juga menyatakan kanak-kanak tidak boleh ditahan di balai polis, atau tempat penahanan atau bergaul dengan orang dewasa yang didakwa dengan sesuatu kesalahan.
Tegas Noor Aziah, penahanan kanak-kanak sepatutnya menjadi jalan terakhir kerana sudah “memadai” untuk mereka diberi peringatan atas kesalahan kecil yang dilakukan.
“Hak kanak-kanak yang melanggar undang-undang cenderung diabaikan dan diketepikan ketika tangkapan dibuat,” katanya.
“Mereka perlu dianggap sebagai tidak bersalah hingga terbukti bersalah kerana kanak-kanak juga sering menjadi mangsa yang memerlukan penjagaan dan perlindungan.
“Sekiranya penahanan perlu dibuat, kepentingan terbaik kanak-kanak perlu dipertimbangkan sepenuhnya oleh pihak berkuasa.”