
Jenazah yang dibawa dari Hospital Kajang itu tiba di lokasi pengebumian sekitar 12.45 tengah malam dan disolatkan di Surau Al-Taqwa di kampung tersebut mengikut SOP.
Turut mengiringi jenazah adalah isteri Allahyarham, Shahira Abdul Halim dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Ahmad Shapawi Ismail.
Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan sebaik jenazah dimasukkan ke liang kira-kira 1 pagi.
Pemanah recurve itu rebah di rumahnya di Kajang dan meninggal dunia selepas menunaikan solat subuh semalam.
Haziq kemudian digegaskan ke Hospital Kajang, namun disahkan meninggal dunia pada 9.37 pagi.
Pemanah berasal dari Johor itu pernah mewakili negara ke temasya Olimpik sebanyak dua kali, iaitu edisi London 2012 serta Rio 2016 di Brazil dan sedang mengejar slot kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo yang dijadualkan berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos depan.