Ribuan solat jenazah ghaib Ismail Haniyeh

Ribuan solat jenazah ghaib Ismail Haniyeh

Pemimpin Hamas itu terbunuh dalam serangan udara Israel di Tehran.

Lebih 100 jemaah menyertai solat jenazah ghaib untuk Ismail Haniyeh di Masjid Negara. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Masjid di seluruh negara hari ini mengadakan solat jenazah ghaib untuk Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh yang terkorban dalam serangan udara oleh rejim Israel di Tehran, Iran, semalam.

Selain masjid bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), solat jenazah ghaib turut diadakan di beberapa negeri sebagai tanda solidariti umat Islam di Malaysia terhadap perjuangan umat Islam Palestin dalam menentang kezaliman rejim Zionis.

Di ibu negara, lebih 100 menyertai solat jenazah ghaib untuk Ismail di Masjid Negara yang diimamkan Imam Kanan Masjid Negara Hassan Alfadhli Abdul Rahman.

Sementara itu, di Masjid Putra Putrajaya, lebih 500 jemaah menyertai solat jenazah ghaib yang diadakan sejurus solat Maghrib dan diimamkan oleh Imam Besar Masjid Putra Muhamad Zakuwa Rodzali.

Di Selangor, Masjid Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, turut mengadakan solat jenazah ghaib yang diimamkan oleh Ismail Hashim dan dihadiri kira-kira 50 jemaah terdiri petugas serta pelajar universiti dan orang awam.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Nur Syamira Md Suffri, ketika dihubungi memaklumkan semua masjid dan surau di negeri itu mengadakan solat jenazah ghaib selepas solat Maghrib malam tadi.

Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pula menerusi hantaran Facebook rasminya memaklumkan solat jenazah ghaib Ismail akan dilaksanakan selepas solat Jumaat esok.

Di Perak, tinjauan di Masjid Jamek Medan Klebang Restu mendapati kira-kira 500 jemaah menunaikan solat jenazah ghaib yang diimamkan imam masjid itu Khair Ahmad Naufal Mohd Khair.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak Harith Fadzilah Abdul Halim berkata solat jenazah ghaib untuk Ismail diadakan di masjid dan surau di seluruh negeri selepas solat Maghrib malam tadi.

Sementara itu, di Pulau Pinang, semua masjid di seluruh negeri mengadakan solat jenazah ghaib selepas solat Maghrib hari ini susulan kematian pemimpin Hamas tersebut.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP), Mohamad Abdul Hamid, berkata pihaknya meminta lebih 200 masjid di negeri itu mengadakan solat jenazah ghaib sebagai tanda solidariti terhadap Ismail.

“Saya bagi pihak kerajaan Pulau Pinang merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Ismail dan rakyat Palestin atas kehilangan ini. Solat jenazah ghaib malam ini sebagai solidariti terhadap kejadian tersebut,” katanya yang juga timbalan ketua menteri I Pulau Pinang kepada Bernama.

Tinjauan Bernama di Masjid Tuan Samad di Permatang Sungai Dua, Butterworth, mendapati lebih 200 jemaah termasuk Mohamad dan Mufti Pulau Pinang Mohd Sukki Othman menyertai solat jenazah ghaib itu.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar, meminta semua masjid bawah seliaan Jakim dan Jawi mengadakan solat jenazah ghaib untuk Allahyarham Ismail.

Agensi Anadolu melaporkan pemimpin Hamas itu terbunuh dalam serangan udara Israel yang menyasarkan kediamannya di Tehran. Beliau berada di ibu negara Iran itu untuk menghadiri majlis pelantikan presiden Iran yang baharu iaitu Masoud Pezeshkian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.