Krisis Covid-19: Lantik 1 jurucakap elak ragu dan percanggahan, kata ahli akademik

Krisis Covid-19: Lantik 1 jurucakap elak ragu dan percanggahan, kata ahli akademik

Kerajaan dicadangkan melancarkan satu strategi komunikasi bersepadu yang memfokus kepada krisis Covid-19.

Kerajaan wajar menunjukkan video petugas kesihatan mengurus pesakit dan angka korban yang semakin melonjak, kata Serina Abdul Rahman dari ISEAS-Yusof Ishak Institute Singapura.
PETALING JAYA:
Seorang ahli akademik mencadangkan beberapa langkah untuk memastikan rakyat bertahan dalam pusingan terbaru perintah kawalan pergerakan (PKP 3.0) untuk memerangi wabak Covid-19.

Serina Abdul Rahman, dari ISEAS-Yusof Ishak Institute di Singapura, berkata pengumuman PKP 3.0 di seluruh negara baru-baru ini cukup mengejutkan.

Beliau berkata bahaya sebenar dihadapi negara ketika ini bukanlah peningkatan jumlah jangkitan yang berterusan, sebaliknya keraguan dan percanggahan di lapangan.

“Sekiranya Malaysia gagal mengawal semua itu ketika ia berusaha melancarkan tindak balas nasional yang bersepadu, tidak mustahil jangkitan harian baharu melepasi 5,000 orang akan berlaku lebih awal daripada jangkaan,” katanya dalam ruangan pendapat di Channel NewsAsia (CNA).

Untuk mengatasi masalah ini, Serina mencadangkan kerajaan melancarkan satu strategi komunikasi bersepadu yang memfokus kepada bahaya virus tersebut, diwakili seorang jurucakap untuk berurusan dengan pihak berkuasa.

Antara lain, katanya, Kementerian Kesihatan perlu menyebarluaskan kemas kini Covid-19 yang dapat diakses dalam beberapa bahasa melalui platform media sosial seperti TikTok dan WhatsApp.

“Mereka juga perlu menyebarkan maklumat mengenai perubahan dasar dan perincian melalui saluran media sosial serupa,” tulisnya.

Serina berkata, orang ramai juga perlu memahami betapa parahnya keadaan semasa, termasuk tekanan dihadapi kakitangan perubatan untuk merawat pesakit dan jumlah kematian yang semakin meningkat.

Beliau berkata video yang menunjukkan pengebumian dapat memberikan gambaran lebih jelas mengenai betapa seriusnya keadaan semasa.

“Oleh kerana upacara pengebumian sangat penting bagi masyarakat luar bandar, video ini perlu menunjukkan pesakit Covid-19 yang bukan saja berdepan maut sendirian, malah pengebumiannya juga hanya diuruskan kakitangan perubatan yang lengkap dengan peralatan pelindungan diri,” katanya.

“Mungkin ini dapat mendorong mereka untuk memahami ancaman virus itu dengan lebih serius.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.