29 ditahan termasuk warga China babit sindiket penipuan bida dalam talian

29 ditahan termasuk warga China babit sindiket penipuan bida dalam talian

Hasil siasatan mendapati mangsa sindiket tertarik dengan taktik yang memaparkan keuntungan hasil penglibatan dalam aktiviti bidaan itu.

Hasil serbuan di sebuah rumah teres di Suria Villa, Cheras itu mendapati sindiket berkenaan telah beroperasi di premis itu sejak empat bulan lepas dan mengaut keuntungan mencecah jutaan ringgit. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seramai 29 individu termasuk seorang warga China disyaki terlibat dalam sindiket penipuan membida barangan mewah yang tidak wujud secara dalam talian ditahan dalam serbuan di sebuah rumah teres di Suria Villa, Cheras, semalam.

Semua mereka terdiri daripada 24 lelaki dan lima wanita yang berusia lingkungan 20-an dan 40-an.

Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed berkata dalam serbuan pada 5 petang itu, sindiket berkenaan telah beroperasi di premis itu sejak empat bulan lepas dan mengaut keuntungan mencecah jutaan ringgit.

“Sindiket dipercayai mengaut sehingga RM200,000 sehari dan dianggarkan memperoleh hampir RM6 juta setiap bulan,” katanya.

Beliau berkata bertindak atas maklumat, polis telah membuat risikan selama sebulan dan mengesan kegiatan mencurigakan di dua alamat berbeza di kawasan taman yang sama itu.

“Modus operandi sindiket ini menggunakan kaedah membida secara dalam talian barangan berharga yang tidak wujud di laman sesawang seperti rumah, kereta dan barang kemas.

“Sindiket kemudian mengarahkan pembida untuk membayar barangan yang dibida dengan separuh harga sebelum meminta untuk melunaskan bayaran penuh bidaan,” katanya menambah sindiket itu menyasarkan warganegara China dari negara tembok besar itu.

Arjunaidi berkata hasil siasatan mendapati semua mangsa tertarik dengan taktik sindiket yang memaparkan keuntungan hasil penglibatan dalam aktiviti bidaan terbabit.

Polis turut merampas 116 telefon bimbit, 14 komputer riba dan 13 komputer meja dalam operasi itu.

Beliau berkata polis akan bekerjasama dengan kerajaan China untuk menjalankan siasatan lanjut untuk mengelakkan penipuan sindiket itu daripada berleluasa.

“Kes disiasat di bawah Akta 120 (a) Kanun Keseksaan dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.