
Dalam serbuan pertama Rabu lalu, sepasukan pegawai menahan seorang lelaki berusia 57 tahun, yang menaiki kereta Toyota Camry, di Taman Tayton, Cheras.
Susulan daripada maklumat suspek terbabit, polis kemudian menyerbu satu unit rumah teres dua tingkat di Alam Damai, Cheras dan menahan seorang lagi lelaki berusia 44 tahun.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Azmi Abu Kassim, berkata hasil pemeriksaan susulan yang dijalankan membawa kepada penemuan dan rampasan sebanyak 43.9kg dadah jenis methamphetamine dan 8.4kg ketamin yang dianggarkan bernilai lebih RM2 juta.
“Hasil siasatan awal, kedua-dua suspek ini berperanan sebagai penghantar iaitu membawa dadah dari sebuah negeri di selatan tanah air kepada pembeli di sekitar Lembah Klang terutamanya Kuala Lumpur.
“Semasa penghantaran, suspek menyembunyikan bekalan dadah dalam ruang tersembunyi kotak pembesar suara (woofer speaker) di bahagian ruang simpan barang di belakang kereta,” katanya dipetik Berita Harian.
Polis tidak menolak kemungkinan modus operandi suspek menyembunyikan dadah dalam ruang tersembunyi itu bagi mengelak dikesan ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) sepanjang kawalan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikenakan sebelum ini.
“Siasatan juga mendapati suspek membelanjakan RM6,000 untuk mengubahsuai ruang tersembunyi dalam kotak pembesar suara itu yang dilengkapi penutup bermagnet sekali gus menyukarkan dadah itu ditemui sekiranya ada pemeriksaan dibuat,” katanya.
Secara keseluruhan polis merampas dua unit kenderaan jenis Toyota Camry yang kedua-duanya dilengkapi ruang tersembunyi, sebuah motosikal, barang kemas bernilai lebih RM130,000.
Kedua-dua suspek terbabit yang juga didapati positif dadah kini ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Keseksaan bermula 6 hingga 12 Mei ini.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabit kesalahan.