
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Soffian Santong berkata, Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di George Town menyerbu dua pusat hiburan di Lebuh Pantai pada 1 pagi, dengan 26 pengunjung berumur 20 hingga 40-an dikompaun RM5,000 setiap seorang.
“Dua pemilik pusat hiburan berumur 40-an yang membuka perniagaan secara tersembunyi bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa dikenakan kompaun RM25,000 setiap seorang, dengan kedua-dua premis diarah tutup serta-merta.
“Dalam serbuan 3.30 pagi di sebuah lagi pusat hiburan di Jalan Dato Keramat mendapati premis hiburan tersebut beroperasi, namun tiada pelanggan di dalamnya kerana dipercayai sempat melarikan diri apabila menyedari kehadiran polis. Pemiliknya dikompaun RM25,000,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata, jumlah keseluruhan kompaun yang dikeluarkan berjumlah RM205,000 dan ada dalam kalangan pengunjung memberi alasan tidak tahu larangan berhibur di pusat hiburan.
Di Bukit Mertajam, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Shafee Abd Samad berkata, 19 pengunjung dan seorang pemilik pusat hiburan dikompaun kerana berhibur di sebuah premis Jalan Icon City, di sini, dalam serbuan 3.30 pagi.
Ketika serbuan, katanya, semua lelaki berumur 19 hingga 44 tahun dalam keadaan mabuk dan siasatan awal mendapati kesemua pengunjung itu mengenali satu sama lain.
“Setiap pengunjung dikompaun RM5,000, manakala pemilik pusat hiburan tersebut pula RM25,000. Keseluruhan kompaun dalam operasi awal pagi tadi ialah RM120,000. Premis (pusat hiburan) itu juga diarahkan tutup.”
Semua kompaun itu dikeluarkan mengikut Peraturan 19(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.