Kematian dalam tahanan polis: Beri koroner lebih banyak kuasa, kata Majlis Peguam

Kematian dalam tahanan polis: Beri koroner lebih banyak kuasa, kata Majlis Peguam

Presiden Majlis Peguam berkata, kematian dalam tahanan yang terus berlaku menyebabkan keyakinan rakyat terhadap pihak penguatkuasaan undang-undang terhakis.

A Ganapathy meninggal dunia di Hospital Selayang pada 18 April lalu, hanya sebulan selepas dia dimasukkan ke wad. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Susulan kes kematian tahanan terbaru, Majlis Peguam mengulangi gesaannya agar badan bebas pengawasan polis ditubuhkan dan satu akta bagi mengukuhkan peranan koroner.

Presiden Majlis Peguam, AG Kalidas berkata, dalam masa seperti ini, penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) adalah penting.

Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) yang dicadangkan kerajaan tidak mampu memastikan ketelusan bebas dan tulen, serta akauntabliti pasukan polis.

Kalidas berkata, pengenalan Akta Koroner yang bebas untuk koroner menyelia dan mengarahkan siasatan komprehensif bagi menentukan punca kematian, tidak patut ditangguhkan.

“Persoalan berhubung kematian A Ganapathy menjadikan IPCMC dan Akta koroner yang bebas lebih diperlukan,” kata beliau dalam kenyataan.

Beliau berkata, kematian dalam tahanan yang terus berlaku menyebabkan keyakinan rakyat terhadap pihak penguatkuasaan undang-undang terhakis.

“Penubuhan IPCMC dan penggubalan Akta Koroner yang bebas bukan hanya akan memastikan ketelusan serta akauntabliti dalam pasukan polis di negara kita, yang penting, tetapi turut akan meningkatkan keyakinan umum terhadap pasukan itu.”

Ganapathy meninggal dunia di Hospital Selayang pada 18 April lalu, hanya sebulan selepas dia dimasukkan ke wad.

Peguam keluarganya dilaporkan berkata, ahli patologi mengesahkan dia meninggal dunia akibat kecederaan di kaki dan bahu, ketika berada dalam tahanan polis.

Ketua Polis Daerah Gombak Arifai Tarawe dilaporkan berkata, tiada bukti menunjukkan lelaki itu dipukul ketika dalam tahanan polis.

Ibu Ganapathy, S Thanaletchumy mendakwa anaknya dipukul dengan paip getah ketika dalam tahanan polis sehingga menyebabkan kakinya perlu dipotong.

Thanaletchumy dalam laporannya berkata, Ganapathy yang mempunyai sejarah penyakit kencing manis dan masalah jantung, dalam keadaan sihat ketika ditahan 24 Feb lalu bagi membantu siasatan ke atas seorang lagi anaknya yang dikehendaki polis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.