Hina mahkamah, koroner inkues Zara keluar surat tunjuk sebab terhadap Shafie

Hina mahkamah, koroner inkues Zara keluar surat tunjuk sebab terhadap Shafie

Koroner Amir Shah Amir Hassan keluar notis kepada presiden Warisan yang dilapor mendakwa pelajar Tingkatan 1 itu dibunuh.

Mohd Shafie Apdal
Mahkamah Koroner Kota Kinabalu mengeluarkan surat tunjuk sebab ke atas Shafie Apdal selepas permohonan menghina mahkamah dibuat peguam Ram Singh pada prosiding tertutup hari ini.
PETALING JAYA:
Mahkamah Koroner Kota Kinabalu mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Presiden Warisan Shafie Apdal kerana menghina mahkamah, susulan kenyataan mengenai inkues kematian Zara Qairina Mahathir.

Ia berkait kenyataan Shafie dibuat pada majlis ‘Jelajah Inspirasi DSSA P187 Kinabatangan’, di Sandakan, pada 20 Sept.

Shafie dilapor mempersoalkan tempoh panjang inkues, dalam klip video sebuah majlis makan malam yang tersebar di media sosial.

Dalam video itu, Shafie kedengaran berkata: “Gadis itu telah meninggal dunia. Dia tidak dibuli, ia adalah pembunuhan. Berapa kali Bukit Aman menyoal saksi? Mereka telah menyoal orang yang sama.”

Menurut Utusan Malaysia, Koroner Amir Shah Amir Hassan mengeluarkan notis tersebut selepas semua pihak yang terlibat termasuk timbalan-timbalan pendakwa raya yang bertindak sebagai pegawai pengendali, tidak mengemukakan sebarang bantahan.

Permohonan berkenaan dibuat peguam Ram Singh pada prosiding yang dijalankan secara tertutup hari ini.

Ram merupakan seorang daripada peguam mewakili ‘Pelajar A’ yang sebelum ini didakwa mengeluarkan kata-kata mencela Zara.

Terdahulu, Jabatan Peguam Negara dalam kenyataan berkata pihaknya tidak akan teragak-agak memulakan prosiding penghinaan mahkamah terhadap Shafie, jika terbukti kenyataannya mengganggu prosiding kes Zara.

Katanya, jabatan itu sedang meneliti setiap kandungan kenyataan tersebut dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas menurut peruntukan undang-undang, termasuk memulakan prosiding penghinaan mahkamah setelah penelitian tersebut selesai

Zara, 13, meninggal dunia di hospital pada 17 Julai lalu, sehari selepas ditemui tidak sedarkan diri pada 4 pagi berdekatan longkang di sekolahnya.

Pada 13 Ogos lalu, Jabatan Peguam Negara mengarahkan inkues diadakan selepas meneliti laporan siasatan polis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.