Pelajar didakwa buli Zara pindah sekolah, Mahkamah Koroner diberitahu

Pelajar didakwa buli Zara pindah sekolah, Mahkamah Koroner diberitahu

Bagaimanapun ketua warden Azhari Abd Sagap tidak mengetahui alasan remaja itu berpindah.

Zara Qairina
Ketua warden beritahu seorang lagi pelajar yang turut didakwa di Mahkamah Kanak-kanak berkait kes Zara Qairina Mahathir tidak lagi tinggal di dorm yang sama kerana trauma. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Mahkamah Koroner Kota Kinabalu diberitahu beberapa minggu selepas Zara Qairina Mahathir ditemukan tidak sedarkan diri di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, salah seorang pelajar didakwa membuli remaja Tingkatan 1 itu berpindah sekolah.

Bagaimanapun, ketua warden, Azhari Abd Sagap tidak mengetahui alasan pelajar itu berpindah.

Azhari yang juga guru bahasa Arab di sekolah berkenaan memberitahu, seorang lagi pelajar yang turut didakwa di Mahkamah Kanak-kanak atas pertuduhan sama tidak lagi tinggal di dorm yang sama kerana trauma.

Beliau berkata demikian ketika ditanya oleh peguam Shahlan Jufri yang mewakili Noraidah Lamat, ibu kepada Zara Qairina, lapor Utusan Malaysia.

Pada 20 Ogos lalu, lima remaja perempuan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap Zara Qairina. Bagi tujuan inkues itu, kelima-lima pelajar terbabit dinamakan sebagai A, B, C, D dan E.

Shahlan: Saya difahamkan pelajar A telah berpindah sekolah?

Azhari: Ya.

Shahlan: Saya difahamkan, pelajar-pelajar sekolah tidak dibenarkan untuk pindah sekolah, macam mana boleh pindah sekolah?

Azhari: Itu bukan bidang tugas saya.

Shahlan: Bila A pindah sekolah?

Azhari: Saya tidak pasti tapi beberapa minggu selepas kejadian.

Shahlan: Tahu apa alasan pindah?

Azhari: Tidak tahu.

Shahlan: B, C, D dan E masih di SMKA Tun Datu Mustapha?

Azhari: Ya.

Shahlan: Saya andaikan B,C,D dan E masih lagi ketua dorm?

Azhari: D dan C bukan ketua dorm, B dan E yang ketua dorm. Tetapi lepas kejadian, E bukan lagi ketua dorm sebab dia beritahu dengan kejadian itu dan dia tidak boleh lagi menginap di bilik itu. B saya tak pasti (sama ada masih ketua dorm atau tidak).

Prosiding inkues yang memasuki hari kesembilan masih berlangsung.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.