
Sambil mengingatkan kerajaan bahawa 10 juta orang tinggal di Lembah Klang, beliau berkata PKP sangat menyusahkan terutama dari sudut ekonomi, sambil menambah rakyat sudah puas menderita sejak PKP 1.0 dan PKP 2.0.
“Sekiranya PKP 3.0 diumumkan tanpa persiapan yang tepat, rakyat hanya akan tambah menderita. Banyak spekulasi timbul bahawa akan ada PKP lain di Lembah Klang minggu depan, mungkin seawal hari Isnin.
“Jika demikian, Majlis Keselamatan Negara (MKN) seharusnya sudah memiliki sistem untuk mempersiapkan penduduk dengan peringatan lebih awal sebelum diumumkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Bekas timbalan menteri perdagangan dan industri itu memberi amaran sekiranya PKP diumumkan dengan tergesa-gesa tanpa SOP yang jelas dan tepat, lebih ramai orang mungkin akan dikenakan denda RM10,000 atau lebih kerana tidak jelas.
“Sebagai contoh, berapa ramai orang yang boleh berada dalam kereta semasa PKP 3.0? Satu, dua atau tiga? Saya menggesa menteri-menteri yang bertanggung jawab untuk tidak mengumumkan PKP lain di Lembah Klang pada saat akhir tanpa mengesahkan SOP.”
Ong berkata jika satu lagi PKP adalah keperluan, itu hanya membuktikan perisytiharan darurat telah gagal dalam objektifnya untuk mengawal pandemik dan menurunkan jangkitan Covid-19.
Oleh yang demikian, beliau mendesak agar Parlimen kembali bersidang dengan segera agar dasar-dasar mengenai tadbir urus wabak ini dapat dibahas secara terbuka.
Katanya, pembangkang dan anggota backbenchers akan dapat menyoal menteri yang bertanggung jawab berhubung pelbagai aspek dasar yang dirasakan sedang dilaksanakan secara tergesa-gesa dan tanpa perbincangan.
“Angka Covid-19 yang semakin meningkat, keperluan untuk mengumumkan PKP lain dan penggantungan parlimen yang berterusan menunjukkan ini adalah #KerajaanGagal atau #FailedGovernment,” katanya.