
Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata kerajaan mungkin mengambil kesempatan untuk menangguhkan sidang Parlimen sehingga akhir tahun ini “atau malah tahun depan”, dan timbalan ketua penerangan PKR, G Manivannan berkata ada keperluan mendesak untuk memperketat prosedur operasi standard (SOP).
Mereka turut mengkritik keputusan Putrajaya membenarkan pelajar universiti pulang kampung untuk perayaan Hari Raya, dengan berkata tindakan itu mungkin akan menaikkan kes Covid-19.
“Mereka mungkin membawa pulang virus itu atau bawa semula bersama mereka ke universiti,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, kerajaan kemudian mungkin berkata perang menentang Covid-19 belum berakhir dan melanjutkan darurat selepas Ogos atas alasan untuk membendung penularan itu.
“Ini bermakna, Belanjawan 2022 dan Rancangan Malaysia ke-12 juga mungkin tidak dibahas dan dibincangkan.”
Manivannan bersetuju dengan pakar perubatan yang berkata, jumlah kes akan meningkat jika pelajar dibenarkan balik kampung.
“Sepatutnya, apabila jumlah kes meningkat, kerajaan harus memperketatkan SOP dan hanya melonggarkannya ketika jumlah kes berkurangan.”
Tambah beliau, rakyat boleh menjangkakan darurat akan dilanjutkan.
Semalam, Malaysia mencatatkan 3,332 kes baharu Covid-19 dengan 15 kematian.
Peguam kebebasan sivil, Fahri Azzat berharap kerajaan tidak akan mengambil kesempatan daripada keadaan itu untuk melanjutkan darurat selepas Ogos ini.
Beliau menggesa Putrajaya membuat “keputusan berpandangan jauh” dan mampu mengekalkan jumlah kes di tahap rendah bagi meredakan kemarahan orang ramai kerana mengamalkan dwistandard.
Fahri berkata, pengguna media sosial kecewa selepas selebriti, Neelofa bersama keluarganya dibenarkan merentas negeri dari Kuala Lumpur ke Langkawi untuk “membuka perniagaan”.