Segera warta SMK Convent Bukit Nanas sebagai tapak warisan negara

Segera warta SMK Convent Bukit Nanas sebagai tapak warisan negara

Sekolah bersejarah itu perlu diwartakan bagi memulihara, memelihara dan melindungi warisan khazanah yang amat bernilai.

Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Bukit Nanas (SMK CBN) baru-baru ini dilaporkan memperoleh lanjutan tempoh pegangan pajakan tanah untuk 60 tahun lagi.
KUALA LUMPUR:
Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Bukit Nanas (SMK CBN) yang telah memperoleh lanjutan tempoh pegangan pajakan tanah untuk 60 tahun lagi sewajarnya segera diangkat sebagai tapak warisan negara.

Menyuarakan pandangan itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Mohamad Ali Hasan berkata adalah penting sekolah bersejarah itu diwartakan bagi memulihara, memelihara dan melindungi warisan khazanah yang amat bernilai.

“Perjuangan kerajaan wajar dipuji kerana mengambil inisiatif mengemukakan sekolah berkenaan sebagai tapak warisan negara… usaha itu sepatutnya mendapat sambutan serta sokongan padu dari semua pihak.

“Apa-apa pun sekiranya terdapat bantahan daripada pihak tertentu, rundingan dan persefahaman bersama akan dapat diatasi dan dimanfatkan untuk keharmonian bersama,” katanya kepada Bernama.

Semalam, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Nancy Shukri berkata Jabatan Warisan Negara telah berusaha untuk mewartakan sekolah tersebut sebagai tapak warisan sejak 2008 tetapi tidak dapat diteruskan berikutan mendapat bantahan oleh pemegang amanah sekolah berkenaan.

Presiden PIBGN, Mohamad Ali Hasan.

Mohamad Ali berkata sekiranya sekolah itu diwartakan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645), ia boleh dijadikan sekolah contoh untuk mengenal pasti bangunan institusi yang lain sebagai warisan negara yang seterusnya.

Beliau berkata sebagai contoh Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) di Perak, Maktab Perguruan Perempuan Melaka, Penang Free School, Maktab Sultan Abu Bakar (Johor Bahru), SMK King George V (Seremban) dan yang lain-lain jika belum diiktiraf sebagai tapak warisan.

“Pewartaan SMK CBN adalah penting sebagai kepentingan sejarah dan iktibar pendidikan negara tersohor serta memandangkan belum ada premis warisan pendidikan yang wujud di tengah-tengah bandar raya negara sebagai tapak warisan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata SMK CBN yang unik, bersejarah dan telah melahirkan ramai pemimpin, pentadbir serta pejuang tersohor itu sewajarnya diberi pelanjutan pajakan tanah sehingga 99 tahun.

Sementara itu, Pengerusi Pusat Kajian Dasar Awam (CPPS) Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) Ramon Navaratnam memuji langkah kerajaan memanjangkan tempoh pajakan tanah serta menolak pandangan sempat dan parokial segelintir pihak.

Navaratnam berkata CBN telah memainkan peranan penting dalam memberikan pendidikan secara menyeluruh khususnya dalam Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains kepada rakyat Malaysia.

Sekolah mubaligh seperti CBN juga terkenal dengan pembentukan sahsiah dan memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar mereka, katanya.

“Sekolah ini terkenal dengan keupayaan menghasilkan banyak individu cemerlang dan juga mewakili legasi, sejarah dan warisan yang perlu kita hargai,” katanya.

Presiden Badan Warisan Malaysia (BWM) Lim Wei Ling yang gembira dengan berita pelanjutan tempoh pajakan itu bagaimanapun berkata pihaknya prihatin mengenai usaha memelihara sekolah itu sebagai bangunan warisan.

“Kami gembira kerana kerajaan bertindak pantas tapi jika kita melihat kepada suara daripada orang ramai, kebanyakan mereka prihatin mengenai usaha untuk memelihara bangunan sebagai warisan untuk generasi akan datang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.