
Presiden PIBGN, Mohamad Ali Hassan, berkata isu sekolah padat boleh mengganggu pembelajaran di dalam kelas.
“Sekarang ini secara ‘mendatar’ (bina bangunan tambahan di sekolah) tidak boleh disebabkan kepadatan ruang,” katanya kepada FMT.
“Kementerian Pendidikan (KPM) dan kerajaan boleh membuat secara berfasa-fasa untuk membina kelas secara ‘menegak’, iaitu dengan menambah dua atau tiga tingkat lagi (pada bangunan sedia ada).”
Beliau turut mencadangkan kerajaan mengadakan sekolah dua sesi bagi menampung jumlah pelajar yang ramai di sekolah padat.
Ahad lalu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dilaporkan berkata, menerusi Belanjawan 2025, kerajaan meluluskan pembinaan 44 sekolah, paling banyak dalam tempoh empat tahun terkini bagi menangani isu sekolah padat, khasnya di kawasan bandar.
Ia susulan rungutan ibu bapa di laman sosial mendakwa jumlah murid darjah satu sehingga 50 orang dalam satu kelas di beberapa sekolah bandar akan memberi kesan kepada sesi pembelajaran.
Ahli akademik, Ainol Madziah Zubairi dari Universiti Islam Antarabangsa menyifatkan cadangan untuk ibu bapa berkemampuan menghantar anak di kawasan padat ke sekolah swasta tidak munasabah.
Sebaliknya, beliau berkata, perlu ada penyelesaian dari segi waktu sekolah, penambahan guru dan bilik darjah.
“Ini terutama mengadakan sekolah dua sesi dan sekolah tumpang yang diselia KPM.”