Tak masuk akal DBP tegur penjawat awam guna bahasa Inggeris

Tak masuk akal DBP tegur penjawat awam guna bahasa Inggeris

Ramon Navaratnam mengatakan tidak wajar menuduh penjawat awam tidak menghormati Perlembagaan dan menggesa campur tangan di peringkat tinggi.

Ketua Pengarah DBP Hazami Jahari dakwa penjawat awam tidak menghormati perlembagaan kerana tidak menggunakan bahasa Melayu dalam urusan rasmi.
PETALING JAYA:
Bekas pegawai kanan kerajaan mengkritik Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kerana menegur penjawat awam menggunakan bahasa Inggeris dalam nama program, premis, kursus dan kempen kerajaan.

Bekas ketua setiausaha Kementerian Pengangkutan Ramon Navaratnam menyifatkan kenyataan Ketua Pengarah DBP Hazami Jahari sebagai ‘tidak masuk akal’.

Navaratnam berkata isu itu memerlukan pendekatan lebih ‘seimbang, munasabah dan rasional untuk diselesaikan’.

Ramon Navaratnam.

“Adalah tidak masuk akal bagi Hazami mengeluarkan kenyataan seperti intu.

“Jika bahasa Melayu sengaja diabaikan, maka orang ramai berhak mempersoalkannya. Tetapi tidak wajar melabel semua pihak menggunakan bahasa Inggeris (dalam bahan kerajaan) sebagai tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan.

“Ini isu rumit. Kerajaan harus membincangkannya di Kabinet kerana satu arahan yang tidak tepat boleh menyebabkan kekeliruan dan salah faham,” katanya kepada FMT.

Navaratnam, yang juga pernah menjadi timbalan ketua setiausaha Kementerian Kewangan berkata beliau sendiri akan menghadapi kesukaran sekiranya dipaksa menjalankan semua urusan dalam Bahasa Melayu.

“Jika anda menerima surat daripada kedutaan asing, anda tidak akan membalasnya dalam bahasa Melayu—tindakan itu boleh dianggap tidak menghormati negara lain,” tambahnya.

Bekas menteri perdagangan dan perindustrian Rafidah Aziz turut setuju dan menekankan kepentingan bahasa Inggeris.

Beliau berkata banyak negara pada masa kini mengutamakan bahasa Inggeris kerana peranannya yang penting dalam komunikasi berkesan serta akses kepada pelbagai sumber ilmu.

“Mengapa kita berusaha begitu keras untuk bergerak ke belakang?

“Kita memperoleh kemerdekaan kerana pemimpin kita pada ketika itu dapat berdiri sama tinggi dengan penjajah dan mampu merundingkan kemerdekaan negara dalam bahasa Inggeris,” katanya.

Rafidah berkata, pada zamannya, kefasihan pegawai Malaysia dalam bahasa Inggeris menjadikan penggunaan jurubahasa dalam mesyuarat antarabangsa tidak diperlukan.

Rafidah Aziz.

“Bukankah memalukan jika pegawai kerajaan pada zaman ini memerlukan penterjemah dan terjemahan dalam mesyuarat, terutamanya dalam mesyuarat antarabangsa bertaraf tinggi?”

Beliau menggesa DBP supaya meninggalkan pemikiran yang “terperangkap dalam kepompong”, sambil mengingatkan agensi itu bahawa ada dunia lebih luas di luar sempadan Malaysia.

Pada 24 Mac, Hazami berkata teguran rasmi telah dikeluarkan kepada penganjur acara dan pegawai pengurusan kerana penggunaan bahasa Inggeris dalam majlis rasmi yang dihadiri rakyat Malaysia.

Beliau memetik penggunaan bahasa Inggeris dalam paparan awam, termasuk nama program seperti “Back to School” dan “KL Car-Free Morning”, serta mempersoalkan penggunaan bahasa Inggeris dalam acara kerajaan walaupun hanya dihadiri oleh dua atau tiga peserta asing.

Hazami mendakwa bahawa penjawat awam tidak menggunakan bahasa Melayu dalam urusan kerajaan yang didakwa tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan.

Beliau merujuk Perkara 152 yang menurutnya mewajibkan penggunaan bahasa Melayu oleh jabatan kerajaan dalam urusan rasmi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.