
Dibatalkan pada November tahun lalu, keputusan yang dibuat Kementerian Pengangkutan itu dikritik ahli politik dan orang ramai, yang berpendapat pemain utama teknologi akan membawa pelaburan mereka ke negara jiran.
Pengerusi Pikom, Danny Lee dalam kenyataan berkata, walaupun rangka tindakan MyDigital yang dilancarkan Februari lalu “menyediakan laluan dalam perjalanan digital kita,” pembatalan kabotaj menjadi halangan utama ke arah menjadi ekonomi bernilai tambah tinggi dan pengeksport teknologi tempatan serta penyelesaian digital.
“Dasar kabotaj semasa tidak sejajar aspirasi digital kita, malah menghalang kemajuannya.”
“Malaysia berisiko kehilangan daya tarikannya sebagai destinasi pelaburan bagi syarikat teknologi global. Di samping itu, pelaburan pusat data juga mula meninggalkan Malaysia kerana kerja pembaikan kini memakan masa lebih lama daripada biasa.”
Lee berkata, pengecualian kabotaj berpotensi memberi kesan lebih luas kepada masyarakat kerana akses internet menjadi sebahagian daripada kehidupan ramai.
“Rakyat Malaysia bergantung kepada akses internet mampu milik dan stabil untuk bekerja, meneruskan pendidikan, berhubung dengan rakan dan keluarga, serta mendapatkan barang keperluan dan perkhidmatan penting seperti penjagaan kesihatan.
“Sekarang bukanlah masanya untuk menyukarkan penyedia perkhidmatan internet Malaysia untuk memperbaiki infrastruktur internet yang kritikal.”
Berhubung dakwaan pembatalan pengecualian itu akan membantu melindungi data Malaysia dengan mengehadkan interaksi kapal asing dengan kabel di perairan negara, katanya, ada alternatif lebih baik.
“Walaupun jika (pencerobohan data) boleh berlaku, ada cara lebih mudah untuk mencuri data berbanding dari dasar laut.
“Kita patut meningkatkan kesiapsiagaan keselamatan siber di seluruh rantaian, termasuk peranti ‘endpoint’ dan rangkaian, untuk memastikan keselamatan end-to-end yang disulitkan.
“Tambahan, apa yang perlu dilakukan adalah meningkatkan pelaburan dan tumpuan terhadap keselamatan siber untuk meningkatkan keselamatan data.”