LRT3 dijangka mula operasi 31 Dis ini, kata Loke

LRT3 dijangka mula operasi 31 Dis ini, kata Loke

Menteri pengangkutan berkata tarikh pembukaan LRT3 tertakluk kepada hasil ujian bagi memastikan tidak berlaku gangguan teknikal.

lrt
Perkhidmatan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) akan menghubungkan Shah Alam dengan kawasan sekitarnya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perkhidmatan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang menghubungkan Shah Alam dan kawasan sekitarnya dijangka mula beroperasi 31 Dis ini.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata projek itu kini dalam fasa akhir ujian dan pentauliahan untuk menjamin keandalan dan keselamatan, lapor Bernama.

Bagaimanapun, tarikh pembukaan LRT3 tertakluk kepada hasil ujian bagi memastikan tidak berlaku apa-apa gangguan teknikal, kata Loke ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat.

Katanya, sebagai persediaan pengoperasian LRT3, Rapid Rail Sdn Bhd sehingga kini telah melantik 956 pekerja termasuk untuk pasukan operasi, teknikal, kejuruteraan dan sokongan.

Sementara itu, mengenai kejadian kebocoran bumbung di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) susulan hujan lebat pada Jumaat lepas, Loke berkata pihak Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) diminta untuk mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor terlibat.

“Ia sangat mendukacitakan, sangat memalukan, memberikan imej negatif kepada negara dan ia sangat sukar untuk dimaafkan,” katanya.

Loke turut mengulangi pendirian tegas beliau dan Kementerian Pengangkutan untuk tidak berkompromi dalam isu pematuhan undang-undang berkaitan kenderaan lebih muatan.

“Hanya dengan ketegasan dan tekad politik yang kuat, baru kita boleh memerangi isu ini yang sudah diwarisi puluhan tahun,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.