
Loke menegaskan kerajaan mahu melindungi nyawa orang ramai kerana mahu memastikan nyawa pengguna jalan raya selamat dan dilindungi.
Menurutnya, berbanding mengajak berunding, persatuan atau syarikat pembinaan digesa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan demi kebaikan semua.
“Saya agak terkilan tindakan sebahagian daripada pemain industri ini. Mereka tahu selama ini sebenarnya mereka nak kita berunding dengan mereka dan ini bagi saya sesuatu’ yang mencabar autoriti.

“Saya nak supaya rakyat dan pengguna jalan raya mesti selamat. Keuntungan bukan segala-galanya dan nyawa manusia lebih penting,” katanya semasa sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan tambahan Syahredzan Johan (PH-Bangi) yang membangkitkan rungutan persatuan pembinaan yang mengeluh peraturan had muatan berat telah meningkatkan kos bahan mereka.
Pada 14 Okt lalu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melancarkan ‘perang’ terhadap kenderaan perdagangan yang membawa lebih muatan.
Operasi bersepadu itu akan dilaksanakan hingga 31 Disember ini bagi menangani sikap sambil lewa dan ketidakpatuhan dalam kalangan pengusaha dan pemandu.
Loke sebelum ini berkata setiap negeri akan menggerakkan empat pasukan penguat kuasa.
Secara keseluruhan sebanyak 12 pasukan aktif beroperasi di setiap zon, dengan tempoh pelaksanaan tujuh hari berturut-turut bagi setiap siri operasi.