Pegawai polis diberkas, notis merah Interpol diperolehi jejak Nicky, pembantu, kata Ayob

Pegawai polis diberkas, notis merah Interpol diperolehi jejak Nicky, pembantu, kata Ayob

Pada masa sama Ketua Polis Johor itu mengesahkan pihaknya melakukan tangkapan membabitkan pegawai polis di Kuala Lumpur, semalam.

Nicky Liow Soon Hee diburu polis Johor.
JOHOR BAHRU:
Polis memberkas pegawainya sendiri selain menggunakan jaringan antarabangsa Interpol untuk menjejaki ahli perniagaan dalam buruan, Nicky Liow Soon Hee dan pembantunya, kata Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay.

Katanya, kelulusan notis merah Interpol untuk Nicky diterima pihaknya pada Selasa lalu, dan semalam, kelulusan sama diperolehi bagi pembantu penjenayah itu, Niu Zhe.

Ayob turut mengesahkan pihaknya melakukan tangkapan membabitkan pegawai polis di Kuala Lumpur, semalam dalam operasi yang masih berterusan.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut dan hanya akan mengeluarkan kenyataan menyeluruh selepas operasi itu selesai.

Ayob Khan Mydin Pitchay.

“Saya hanya dapat mengesahkan ada tangkapan dibuat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di Kuala Lumpur.

“Bagaimanapun, saya tidak akan keluarkan kenyataan, cuma saya sahkan (ada tangkapan), kerana operasi masih dan sedang berjalan, saya tidak mahu hari ini tangkap seorang, satu (kenyataan) keluar.

“Ada tangkapan susulan selepas ini dan saya tidak mahu menjejaskan operasi yang sedang berjalan,” katanya.

Terdahulu, polis bertindak untuk memastikan nama Nicky, yang disyaki mendalangi kumpulan jenayah terancang di negara ini disenaraikan dalam individu dikehendaki dan dikenakan notis merah oleh Interpol.

Ayob sebelum ini dilaporkan berkata, pihaknya dalam proses menerima waran baharu daripada Mahkamah Petaling Jaya minggu lalu bagi meletakkan Nicky dalam senarai suspek yang dikehendaki.

Beliau berkata, permohonan itu dibuat susulan sebelum ini, polis pernah mengemukakan notis biru kepada Interpol bagi mengesan lokasi Nicky sekiranya berada di luar negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.