Kes pukul pekerja: Majikan terlibat judi, ceti haram, kata polis

Kes pukul pekerja: Majikan terlibat judi, ceti haram, kata polis

Ketua Polis Selangor, Arjunaidi Mohamed, berkata pembongkaran itu susulan penahanan empat individu yang juga pekerja majikan tersebut semalam.

Ketua Polis Selangor, Arjunaidi Mohamed, berkata polis turut membuat rampasan 100kg jongkong emas dan 12,500 not kertas USD100 dianggarkan bernilai RM28.25 juta. (Gambar Bernama)
KLANG:
Kes dua pengawal peribadi dipukul majikan mereka kerana berpuasa semalam membawa kepada pembongkaran aktiviti judi dan sindiket ceti haram atau “along” yang dijalankan syarikat milik majikan terbabit.

Ketua Polis Selangor, Arjunaidi Mohamed, berkata pembongkaran tersebut dibuat lanjutan penahanan empat individu malam semalam yang juga pekerja majikan tersebut, dan kini direman lima hingga tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, satu serbuan dibuat pada 10 malam di rumah seorang daripada suspek di Bukit Tinggi dan polis merampas sepucuk pistol serta 10 butir peluru serta rotan yang digunakan untuk memukul kedua-dua mangsa.

Katanya, senjata api itu bawah kawalan seorang daripada mangsa dan kepunyaan syarikat kawalan keselamatan.

“Hasil penangkapan tersebut turut membawa kepada penemuan 100kg jongkong emas dan 12,500 not kertas USD100 dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM28.25 juta di rumah tersebut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan.

“Siasatan awal mendapati majikan mangsa yang berusia 44 tahun itu terlibat dalam kegiatan ‘along’ dan judi tanpa lesen,” katanya sambil menambah majikan terbabit turut ditahan semalam di Dang Wangi.

Beliau berkata, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK) kerana mendatangkan kecederaan, Seksyen 298 KK kerana menghina Islam dan Seksyen 307 KK kerana cubaan membunuh.

Selain itu katanya, polis juga akan menyiasat kes tersebut bawah Seksyen 4(1) Akta pencegahan Pengubahan Wang haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 serta Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang (APPW) 1951.

Pada masa sama, beliau mengingatkan orang ramai tidak mengaitkan kes itu dengan isu perkauman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.