Budak perempuan cedera diserang anjing liar

Budak perempuan cedera diserang anjing liar

Ibu mangsa, Norhafizah Abdul Ghafar, berkata anaknya Syauqina Rifqa Sarnizam, 11, digigit anjing liar selepas mangsa pergi menghalau anjing yang menghampiri kawasan arnab peliharaannya.

Mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala, lengan kiri, betis kanan dan bahagian belakang badan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seorang kanak-kanak cedera di badan dan kepala selepas digigit anjing liar yang berkeliaran di kawasan rumahnya di Seksyen 2, Wangsa Maju, semalam.

Kejadian berlaku pada 5.30 petang selepas kanak-kanak itu pulang dari sekolah agama.

Ibu mangsa, Norhafizah Abdul Ghafar, berkata anaknya Syauqina Rifqa Sarnizam, 11, digigit anjing liar selepas mangsa pergi menghalau anjing yang menghampiri kawasan arnab peliharaannya.

“Anak saya sudah sampai di depan rumah selepas balik sekolah dan pada masa sama saya terdengar bunyi salakan anjing.

“Anak saya memberitahu dia ingin pergi menghalau anjing yang datang ke kawasan sangkar arnab peliharaan kami. Saya tidak benarkan dan meminta dia tunggu saya datang sekali, tapi dia tetap pergi sendiri. Tidak lama kemudian, saya dengar dia menjerit,” katanya kepada Bernama.

Norhafizah berkata, selepas itu dia melihat anaknya dalam keadaaan tertiarap dengan dua ekor anjing liar sedang memandang ke arahnya.

“Saya cuba halau, tetapi anjing itu tetap berada di situ dan hanya pergi selepas suami saya menghalau dan mengejar anjing-anjing berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, anaknya mengalami kecederaan di bahagian kepala, lengan kiri, betis kanan dan bahagian belakang badan.

“Selepas kejadian, jiran saya membantu membawa Syauqina ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan sebelum dipindahkan ke Hospital Gleneagles Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Norhafizah berkata, banyak anjing liar di kawasan perumahannya dan beliau sudah membuat laporan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sejak tahun lalu untuk menangkap haiwan liar itu.

Wanita itu berkata, suaminya akan membuat laporan kepada DBKL mengenai perkara berkenaan bagi membolehkan tindakan lanjut diambil dengan segera, sekaligus mengelak perkara sama berulang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.