Ajal pelajar lepasan STAM ketika mandi di air terjun Istana Sangkut

Ajal pelajar lepasan STAM ketika mandi di air terjun Istana Sangkut

Mangsa, Nur Muhammad Afiq Zubir, 19, dipercayai terjun sebelum tenggelam dan dihanyutkan arus deras dalam kejadian 2.43 petang.

Mangsa, yang berasal dari Bukit Katil, Melaka dipercayai ke tempat rekreasi itu bersama-sama 13 rakannya selepas menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), pada 7 April. (Gambar Facebook)
KOTA BHARU:
Perkelahan sekumpulan remaja lelaki bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka ditemui lemas di air terjun Istana Sangkut, Laloh di Kuala Krai pada 5.45 petang semalam.

Ketua Balai Bomba Kuala Krai Penolong Penguasa Bomba Muhammad Rizwan Ar-rasee Parsimin berkata mangsa, Nur Muhammad Afiq Zubir, 19, dipercayai terjun sebelum tenggelam dan dihanyutkan arus deras dalam kejadian 2.43 petang.

Beliau berkata mangsa yang berasal dari Bukit Katil, Melaka dipercayai ke tempat rekreasi itu bersama-sama 13 rakannya untuk meraikan kejayaan mereka selepas selesai menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), pada 7 April.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), selain turut mendapat pertolongan daripada orang kampung.

“Selepas beberapa jam SAR dijalankan, pasukan akhirnya berjaya menarik mangsa yang juga pelajar Maahad Pengajian Islam Kota Bharu, dari dasar setelah baju mangsa tersangkut pada ‘grappling iron’.

“Jenazah diusung sejauh 150 meter dari air terjun berkenaan ke kawasan selamat lalu diserah kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Suzaimi Mohammad mengesahkan kejadian itu dan mangsa telah dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk bedah siasat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.