Tak ada ruang untuk salah guna dana dalam tempoh darurat, kata MB Johor

Tak ada ruang untuk salah guna dana dalam tempoh darurat, kata MB Johor

Hasni Mohammad menegaskan setiap perbelanjaan tambahan perlu dibentang dalam ordinan dan dibawa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk disahkan.

Hasni Mohammad berkata ordinan untuk bajet tambahan akan dibawa mengadap Agong untuk disahkan. (Gambar Bernama)
ISKANDAR PUTERI:
Menteri Besar Johor Hasni Mohammad menegaskan kerajaan bawah pentadbirannya tidak ada ruang untuk menyalahguna dana perbelanjaan, termasuk Kumpulan Wang Disatukan Negeri, dalam tempoh darurat atau pelaksanaan ordinan.

Hasni berkata, ordinan yang diwartakan kerajaan pusat, termasuk kaedah pelaksanaannya, amat jelas dan perlu dibawa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk disahkan.

“Kita (kerajaan negeri) bukan berbelanja tiada prosedur. Apabila hendak bentang sesuatu bajet tambahan satu ordinan, perlu dicadang pada peringkat Jawatankuasa Induk untuk tujuan membelanjakan sejumlah wang, walaupun tidak dibentang dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kemudian, ordinan untuk bajet tambahan itu akan dibawa mengadap Yang di-Pertuan Agong untuk disahkan. Baginda perlu menandatangani ordinan berkenaan, kemudian baru wang boleh digunakan,” kata beliau ketika dihubungi FMT.

Justeru, kata Hasni, tiada istilah kerajaan ini bersifat junta, tidak demokratik atau tidak telus.

“Kita tidak boleh ambil (baca) ordinan itu (bulat-bulat) dan terjemahkannya sesuka hati,” tambah beliau.

Jumaat lepas, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dilaporkan membidas pindaan ordinan darurat yang membolehkan kerajaan menambah perbelanjaan tanpa melalui Dewan Rakyat atau DUN semasa darurat.

Beliau menyifatkan ini sebagai membimbangkan, sambil menegaskan, darurat tidak boleh mengetepikan akauntabiliti dan ketelusan.

Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (Pindaan) 2021 yang diwartakan pada 31 Mac menyatakan, apa-apa perbelanjaan atau pengeluaran daripada Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan atau bagi sesuatu negeri boleh dibuat dengan kelulusan Perbendaharaan atau menteri besar atau ketua menteri, tanpa kelulusan dewan perundangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.