Kerajaan Perancis terselamat undi tak percaya ketika pertikaian belanjawan

Kerajaan Perancis terselamat undi tak percaya ketika pertikaian belanjawan

Satu usul dikemukakan golongan nasionalis sayap kanan pimpinan Marine Le Pen dan satu lagi oleh gabungan parti sayap kiri, Parti Hijau dan Komunis.

Sebastien Lecornu
Dua usul undi tidak percaya dikemukakan pembangkang susulan keputusan Perdana Menteri Sebastien Lecornu meluluskan belanjawan dipertikaikan tanpa melalui undian Parlimen. (Gambar EPA Images)
PARIS:
Kerajaan minoriti Perancis pimpinan Perdana Menteri, Sebastien Lecornu sekali lagi terselamat daripada dua usul undi tidak percaya dibawakan pembangkang, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Satu usul dikemukakan golongan nasionalis sayap kanan pimpinan Marine Le Pen dan satu lagi oleh gabungan parti sayap kiri, Parti Hijau dan Komunis – gagal memperoleh majoriti mutlak 288 undi yang diperlukan di Parlimen pada Jumaat.

Seramai 269 Ahli Parlimen mengundi menyokong usul sayap kiri, manakala 142 undi memihak kepada usul sayap kanan.

Usul undi tidak percaya itu dikemukakan susulan keputusan Lecornu meluluskan belanjawan dipertikaikan tanpa melalui undian Parlimen, selepas rundingan dengan parti lain gagal mencapai persetujuan.

Kerajaan Lecornu tidak memiliki majoriti di Parlimen, tetapi dijangka tidak tumbang memandangkan beliau memperoleh sokongan Parti Sosialis selepas membuat beberapa konsesi berkaitan belanjawan.

Bagi memastikan belanjawan itu diluluskan, Lecornu terpaksa berulang kali menggunakan prosedur perlembagaan khas.

Bahagian hasil belanjawan kini terjamin susulan kegagalan usul undi tidak percaya itu. Lecornu seterusnya perlu meluluskan bahagian perbelanjaan serta keseluruhan belanjawan dalam beberapa hari akan datang, dengan lebih banyak usul undi tidak percaya dijangka menantinya.

Keupayaan Lecornu meneruskan kelulusan belanjawan itu mungkin disambut baik sektor perniagaan, selain rakan Kesatuan Eropah seperti Jerman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.