
Walaupun menyambut baik pemberian khas RM600 juta untuk Sarawak di bawah Belanjawan 2026, namun beliau menegaskan jumlah itu bersifat sementara sehingga formula pemberian khas tersebut dimuktamadkan, lapor Dayak Daily.
Katanya, kerajaan negeri mahu satu formula jangka panjang diwujudkan seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, bagi memastikan Sarawak menerima peruntukan belanjawan yang adil dan konsisten.
“Kita berharap kerajaan Persekutuan akan mempertimbangkan formula yang dicadangkan oleh Sarawak bagi pemberian khas itu dan tidak mengekalkannya sebagai jumlah sementara,” katanya.
Sim menegaskan bahawa Sarawak telah banyak menyumbang kepada Persekutuan sepanjang lebih lima dekad yang lalu dan wajar diberikan bahagian yang sewajarnya bagi memastikan pembangunan yang seimbang.
Beliau juga kesal apabila 70% klinik dan hospital kerajaan di negeri itu berada dalam keadaan usang dan memerlukan kerja pembaikan serta naik taraf bernilai RM17 bilion.
“Di Semenanjung juga mempunyai kemudahan yang usang, tetapi tidak sampai 70%,” katanya.
Naib pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu berkata, Sarawak mempunyai tenaga pakar bertaraf dunia namun terpaksa beroperasi dengan kemudahan dan sumber yang terhad, sambil berkata ia ibarat pemandu F1 diminta memandu kereta biasa.
Namun begitu, Sim mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana mempercepatkan pembinaan Pusat Kanser Sarawak, yang menurutnya akan meringankan beban pesakit kanser.
Anwar sebelum ini mengumumkan peruntukan RM6 bilion untuk Sarawak di bawah Belanjawan 2026, dengan RM600 juta daripadanya merupakan pemberian khas kepada negeri di Borneo itu.