
Perkara itu dimaklumkan Pengarah Pilihan Raya Umno Tajuddin Abdul Rahman kepada pemberita di pekarangan Menara Dato’ Onn di sini.
Tajuddin berkata, hanya seorang sahaja yang digantung keahliannya dan tiada pemecatan dibuat melibatkan ahli Umno lain.
“Ya, seorang sahaja,” katanya seperti dilaporkan Utusan Online.
Sementara itu, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan mengesahkan penggantungan seorang ahli Umno, namun tidak mendedahkan nama dan jawatannya dalam parti.
Menurut Ahmad, surat penggantungan sudah diserahkan hari ini dan tempoh penggantungan yang dikenakan terhadap individu berkenaan adalah selama enam tahun, atau dua kali pemilihan parti.
“Saya ingin maklumkan seorang, saya tidak mahu sebut namanya kerana biarlah beliau menerima surat penggantungan berkenaan yang dihantar sebentar tadi.
“Ahli Majlis Kerja Tertinggi mengesahkan keputusan Jawatankuasa Disiplin. Digantung selama enam tahun atau dua penggal pemilihan majlis kerja tertinggi. Segala surat dan kesalahan yang dilakukan ada dalam surat itu,” katanya.
Portal itu sebelum ini mendedahkan Bendahari Umno yang juga ketua Umno Putrajaya Tengku Adnan Tengku Mansor dipercayai menggerakkan agenda bagi menyekat peluang Faisal menjadi calon bagi kawasan Parlimen Putrajaya.
Menurut sumber, ini selepas Ahli Parlimen Putrajaya itu dikatakan merancang agar Faisal dihadapkan ke Lembaga Disiplin parti dengan membuat aduan atas kesalahannya mengkritik Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
Sumber itu yang juga Ahli Jawatankuasa Bahagian Putrajaya mendakwa, perancangan dibuat melalui satu pertemuan tertutup dengan sekumpulan kira-kira 50 ahli jawatan kuasa bahagian dan ketua cawangan untuk menyokong tindakan tersebut dengan diminta setiap orang menandatangani surat sokongan.