Santiago dakwa Ramanan ‘tersasar’ ketepi tidak puas hati bukan Melayu

Santiago dakwa Ramanan ‘tersasar’ ketepi tidak puas hati bukan Melayu

Bekas Ahli Parlimen Charles Santiago berkata punca pembangkang dekati komuniti itu kerana PN 'dapat menghidu peluang tawan Putrajaya'.

Charles Santiago R Ramanan
Charles Santiago berkata R Ramanan salah diagnosis isu sebenar apabila menyatakan visi Madani kerajaan telah memaksa PN meluaskan tumpuannya.
PETALING JAYA:
Seorang bekas Ahli Parlimen menuduh Naib Presiden PKR R Ramanan mengabaikan realiti golongan bukan Melayu tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan.

Charles Santiago daripada DAP, berkata pandangan Ramanan bahawa visi Madani kerajaan memaksa Perikatan Nasional (PN) meluaskan tumpuan terhadap pengundi bukan Melayu dianggap salah diagnosis, yang boleh membawa kepada penyelesaian yang salah menjelang PRU akan datang.

Beliau berkata, punca PN mula mendekati pengundi bukan Melayu ialah kerana ‘PAS dan PN kini dapat menghidu peluang menawan Putrajaya’.

Gabungan pembangkang itu percaya bahawa mereka mampu meraih sokongan 25% hingga 30% pengundi bukan Melayu, lalu menawan Putrajaya. “Mereka percaya mereka sebenarnya boleh mendapatkan 30% sokongan masyarakat India, atau lebih lagi,” kata Santiago, bekas Ahli Parlimen Klang.

Beliau menyifatkan diagnosisnya sebagai ‘agak berbahaya’ memandangkan Ramanan mengabaikan hakikat rasa tidak puas hati dalam kalangan bukan Melayu terhadap kerajaan sebenarnya agak tinggi.

“Apabila ada orang seperti individu ini memberitahu pemimpin kita bahawa semuanya baik-baik sahaja, maka tiada apa yang akan berlaku,” katanya kepada FMT.

Pada Sabtu, Ramanan berkata penekanan kerajaan Madani terhadap keterangkuman, tanpa meminggirkan mana-mana kaum atau kumpulan, merupakan sebab mengapa pihak seperti PAS mendekati komuniti India.

PN telah membentuk gabungan pembangkang longgar yang melibatkan antara lain parti seperti Urimai dan Parti Kemajuan Malaysia, bagi meningkatkan sokongan di kawasan bandar dan separa bandar, khususnya dalam kalangan bukan Melayu.

Mei lalu, Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli, memberi amaran PKR dan Pakatan Harapan (PH) mengalami kemerosotan sokongan dalam kalangan bukan Melayu, dengan kajian dalaman menunjukkan penurunan sokongan masyarakat India 38% dan semakin ramai pengundi Cina tidak lagi berhasrat keluar mengundi pada PRU16.

Santiago berkata, kerajaan mesti menerima realiti rasa tidak puas hati dalam kalangan bukan Melayu, bukannya terpedaya terhadap anggapan mereka menyokong, supaya tindakan dapat diambil bagi meraih semula atau mengukuhkan sokongan komuniti berkenaan.

Beliau berkata, pembentangan Belanjawan 2026 memberi peluang untuk meredakan ketidakpuasan hati dengan memberi respons terhadap aduan golongan bukan Melayu, khususnya masyarakat India, yang kelihatan lebih terbuka beralih sokongan kepada PN.

“PN telah merancang dan mendekati komuniti India sepanjang tahun lalu. Baru-baru ini, seluruh kepimpinan mereka telah mengadakan sidang media mengenai Mitra (Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia).

“Dan buat pertama kali, (Timbalan Presiden PAS) Tuan Ibrahim Tuan Man — yang sentiasa bercakap mengenai orang Islam dan Islam — menyebut bagaimana Rang Undang-undang Pembaharuan Semula Bandar yang dicadangkan itu juga akan memberi kesan kepada masyarakat India.”

“Anda dapat lihat bagaimana naratif mereka sedang berubah dan cara mereka beri respons kepada komuniti itu. Jadi, saya rasa belanjawan adalah saluran tepat menangkis perkara ini, bagi menunjukkan agenda memperkasa masyarakat India masih berada dalam perancangan kerajaan,” kata Santiago.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.