Pakar PBB gesa Fifa, Uefa gantung skuad Israel

Pakar PBB gesa Fifa, Uefa gantung skuad Israel

Lapan pakar bebas PBB menyifatkan langkah itu 'tindakan perlu' terhadap genosid berterusan di wilayah Palestin diduduki.

Fifa dan Uefa terikat dengan kewajipan antarabangsa mengenai hak asasi manusia. (Gambar EPA Images)
GENEVA:
Pakar hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menggesa Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) dan Persatuan Bola Sepak Eropah Bersatu (Uefa) menggantung penyertaan pasukan kebangsaan Israel daripada kejohanan antarabangsa.

Lapan pakar bebas PBB, termasuk Pelapor Khas mengenai hak budaya, Alexandra Xanthaki serta Pelapor Khas mengenai keadaan hak asasi manusia di wilayah Palestin diduduki sejak 1967, Francesca Albanese dalam kenyataan bersama pada Selasa menyifatkan ia “tindakan perlu” terhadap genosid berterusan di Gaza.

Mereka merujuk penemuan dalam laporan dikeluarkan Suruhanjaya Siasatan Antarabangsa Bebas PBB mengenai Wilayah Palestin Diduduki, termasuk Baitulmuqaddis Timur dan Israel pada 16 Sept lalu.

Suruhanjaya itu merumuskan Israel melakukan jenayah genosid terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza dan menggesa rejim itu segera menghentikan kekejamannya, lapor Xinhua.

“Badan sukan tidak boleh tutup mata terhadap pelanggaran hak asasi manusia serius, terutama apabila platform mereka digunakan untuk menormalisasikan ketidakadilan,” menurut lapan pakar itu.

Mereka menegaskan, seperti dalam kes sebelum ini, pasukan kebangsaan mewakili negara dituduh melakukan pelanggaran hak asasi manusia besar-besaran boleh dan patut digantung.

Fifa dan Uefa terikat dengan kewajipan antarabangsa mengenai hak asasi manusia.

Kumpulan pakar itu turut menekankan sebarang boikot sukan perlu disasarkan kepada Israel, bukan atlet individu.

“Tidak seharusnya ada diskriminasi atau sekatan terhadap pemain individu hanya kerana asal usul atau kewarganegaraan mereka.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.