
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Mohd Harun berkata, kaunter berkenaan dibuka di kawasan kebakaran bagi mengumpul maklumat mangsa untuk tujuan menyalurkan bantuan.
“Sekarang ini, mereka perlu membuat laporan polis terlebih dahulu dan mengumpul maklumat apa yang mereka rugi untuk mendaftar di kaunter berkenaan sebelum sebarang bantuan disalurkan,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini, malam tadi.
Mengulas mengenai penempatan bazar Ramadan peniaga pasar itu, Rina berkata, beliau akan membincangkan perkara tersebut dengan pihak berkuasa tempatan dan Kementerian Wilayah Persekutuan.

“Saya difahamkan mereka (peniaga) hendak membuka bazar Ramadan dan kini premis mereka terbakar, maka mereka memerlukan penempatan baharu untuk berniaga,” katanya.
Dalam pada itu, setiausaha politik kanan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Mohd Nardim Awang mewakili perdana menteri menyampaikan bantuan wang ihsan kepada peniaga yang terjejas.
Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa yang turut melawat pasar berkenaan malam tadi berkata, status tanah tapak perniagaan Pasar Dato Keramat akan dibincangkan bersama pemaju dalam masa terdekat.
“Perkara ini (status tanah) akan dibincangkan bersama pemaju tapak pasar berkenaan dalam tempoh terdekat, kita akan capai satu keputusan,” katanya.
Semalam lebih 40 kedai di Pasar Dato Keramat terbakar, namun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.