Bas ekspres terbakar di PLUS, 7 penumpang cedera ringan

Bas ekspres terbakar di PLUS, 7 penumpang cedera ringan

Kejadian berlaku selepas bas itu terbabit dalam kemalangan dengan lori di Kilometer 78.7 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menghala utara, lewat malam tadi.

bas ekspres terbakar bertembung lori
Beberapa anggota bomba memadam kebakaran sebuah bas ekspres yang terlibat dalam kemalangan dengan lori. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Tujuh penumpang sebuah bas ekspres cedera ringan apabila kenderaan dinaiki terbakar selepas terbabit dalam kemalangan dengan lori di Kilometer 78.7 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menghala utara, lewat malam tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam, Mohd Nazrul Yusri Mohd Yusof, berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 11.17 malam.

Katanya, mereka menghantar 14 anggota dari BBP Ayer Hitam dan BBP Kluang bersama dua jentera FRT serta dua unit EMRS ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi pada 11.35 malam, kita dapati sebuah bas ekspres terbakar akibat kemalangan dengan lori lima tan.

“Terdapat tujuh mangsa lelaki termasuk pemandu bas berusia antara 23 hingga 48 tahun. Semua penumpang mengalami kecederaan ringan dan telah keluar sebelum pasukan bomba tiba.

“Pemandu lori berusia 35 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini, menurut Harian Metro.

Menurutnya, mereka menggunakan satu aliran salur untuk operasi pemadaman dan api berjaya dikawal pada 12.13 tengah malam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.