
Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata siasatan pihaknya meliputi aspek perbuatan khianat dan aspek kecuaian.
“Kesimpulan daripada siasatan ini, pihak polis mendapati tiada sebarang unsur khianat, sabotaj atau kecuaian yang dikenal pasti sehingga boleh menyebabkan kerosakan kepada paip gas dan mencetuskan letupan,” katanya pada sidang media Laporan Siasatan Insiden Kebakaran Putra Heights di SUK Selangor.
Sementara itu, pasukan penyiasat menyimpulkan faktor persekitaran di bawah permukaan tanah merupakan punca utama paip tersebut gagal, dan pergeseran logam paip gas kemudian mencetuskan api yang meledak pada jam 8:08 pagi 1 April, menurut kenyataan Menteri Besar Amirudin Shari.
Katanya, siasatan pasukan teknikal mendapati bahawa sejak talian paip gas itu ditauliahkan pada tahun 2000, telah berlaku mendapan tanah sebanyak 24.3cm dalam tempoh 25 tahun.
Kesan mendapan tanah menyebabkan berlakunya pergerakan kepada paip gas sebanyak 15.9cm, dan ini dibuktikan dalam persampelan paip yang menunjukkan tanda-tanda tekanan dan ‘fatigue’ dalam struktur paip.
Tambahan kepada itu, Jabatan Mineral dan Geosains mendapati kawasan tanah tersebut tepu air dan mempunyai takungan air bawah tanah semulajadi yang menyebabkan tanah kawasan tersebut menjadi lembut.
“Meskipun paip gas tersebut memenuhi spesifikasi teknikal dan piawaian yang ditetapkan, kegagalan paip didapati berpunca daripada beberapa faktor persekitaran,” katanya.
Faktor persekitaran itu termasuk keadaan tanah yang kurang stabil, pengumpulan air bawah tanah dalam tempoh masa panjang yang menyebabkan tanah kawasan semakin lembut, struktur saliran monsun dan ‘culvert’ yang terkesan akibat keadaan tanah, serta tekanan iklim dan kepadatan kawasan penduduk.
Dalam pada itu, Amirudin mengumumkan laporan siasatan ini akan menjadi asas kepada analisis risiko di setiap kawasan yang seumpamanya.
Suatu jawatankuasa khas di bawah Unit Pengurusan Bencana Negeri akan ditubuhkan melibatkan pakar bagi menyampaikan cadangan pembaharuan undang-undang, prosedur kelulusan kebenaran merancang, dasar pembangunan mengambil kira risiko perubahan iklim, serta semua kawasan jajaran ‘right-of-way’ talian paip gas.
“Ini amat penting bagi mengukuhkan kawasan Putra Heights serta kawasan seumpamanya supaya insiden ngeri sebegini tidak berulang lagi,” katanya.
Tragedi pada 1 April itu menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30m dengan suhu mencecah sehingga 1,000 darjah celsius.
Tiada kematian dilaporkan akibat insiden itu namun 150 mangsa dirawat di hospital.
Pasukan bomba mengambil masa hampir lapan jam untuk memadamkan kebakaran, yang membentuk kawah sedalam 10m dengan keluasan 21m x 24m.
Kebakaran itu memusnahkan 81 rumah dengan kerosakan struktur melebihi 40%. Sebanyak 81 rumah lagi rosak sebahagian, manakala 57 terjejas tetapi tidak terbakar.