2 rentung kereta terbakar langgar pokok

2 rentung kereta terbakar langgar pokok

Kejadian membabitkan seorang mangsa lelaki dan wanita yang terperangkap dalam kereta jenis Toyota Vios.

Menurut bomba, mangsa lelaki berusia 21 tahun manakala seorang lagi belum diketahui identitinya dan mayat kedua-duanya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Dua rentung apabila kereta dinaiki mereka melanggar pokok dan terbakar dalam kejadian di kebun kelapa sawit di Kota Tinggi, awal pagi tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penawar, Faizal Ahmad, berkata kedua-dua mangsa lelaki dan wanita itu maut selepas dipercayai terperangkap dalam kereta jenis Toyota Vios terbabit.

Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.48 pagi sebelum menghantar lapan anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, kita dapati kereta terbabit terbabas melanggar pokok dan terbakar. Kereta itu dinaiki dua mangsa.

“Seorang mangsa ialah lelaki dewasa berusia 21 tahun, manakala seorang lagi wanita dewasa yang belum diketahui identitinya. Mereka disahkan maut di lokasi,” katanya dalam kenyataan, menurut Sinar Harian.

Menurutnya, kereta itu didapati musnah 93% dan pihaknya bertindak memadam kebakaran dengan menggunakan pam air dari jentera bomba.

“Mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada 6.11 pagi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.