Kejamnya panah mati anjing liar

Kejamnya panah mati anjing liar

Rakaman CCTV menunjukkan lelaki menaiki Proton Waja menggunakan busar dan panah untuk membunuh anjing itu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Ahmad Shukri Mat Akhir berkata laporan dibuat pengadu yang tidak berpuas hati selepas melihat rakaman CCTV yang dimuat naik ke Facebook.
ALOR SETAR:
Polis mengesahkan telah menerima laporan berhubung kejadian seorang lelaki membunuh anjing liar dengan cara memanah haiwan berkenaan di Seberang Jalan Putra, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Ahmad Shukri Mat Akhir berkata laporan dibuat seorang pengadu yang melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhubung kejadian itu yang dimuat naik oleh seorang pemilik akaun Facebook.

“Berdasarkan rakaman CCTV itu, seorang lelaki yang menaiki Proton Waja dilihat telah berada di kawasan itu sambil melakukan aksi memanah. Senjata yang digunakan untuk membunuh anjing itu ialah busar panah dan anak panah.

“Bagaimanapun, nombor pendaftaran kereta berkenaan gagal dikenal pasti. Tujuan pengadu membuat laporan adalah kerana tidak berpuas hati dengan tindakan lelaki berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ahmad Shukri berkata pasukan penyiasat Jabatan Perkhidmatan Veterinar yang melakukan siasatan di lokasi kejadian mendapati terdapat CCTV di kedai berhampiran menunjukkan seorang lelaki memanah anjing liar antara pukul 4.21 hingga 5.26 pagi, Khamis lepas.

“Kes berkenaan telah diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk siasatan mengikut Seksyen 29(1)(E) Akta Kebajikan Haiwan 2015,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.