
Pusat Konvensyen Sunway Pyramid itu akan menjadi pusat vaksinasi swasta berskala besar pertama untuk daerah Petaling.
Dalam kenyataan hari ini, Sunway Group berkata pusat konvensyen seluas 80,000 kaki persegi itu mula menerima petugas barisan hadapan semalam dan menyasarkan untuk memberi vaksin kepada “sekurang-kurangnya 1.8 juta orang” sepanjang 11 bulan akan datang.
Kira-kira 1,400 petugas barisan hadapan diberi vaksin di pusat tersebut sehingga hari ini.
“Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, memiliki keluasan yang ideal, lokasi strategik dan sokongan infrastruktur yang yang kami perlukan untuk memastikan kelancaran program vaksinasi tersebut,” kata Jawatankuasa Pengurusan Bencana daerah Petaling dalam kenyataan itu.
“Kami berterima kasih kepada Sunway Group di atas respons mereka yang pantas dalam menawarkan pusat konvensyen ini sebagai hab vaksinasi dan menyokong program imunisasi kebangsaan.”
Bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, pusat itu akan menjalankan vaksinasi untuk petugas kesihatan di kemudahan kerajaan dan swasta, serta perkhidmatan perlu, sehingga April.
Petugas penjagaan kesihatan lain, petugas perkhidmatan perlu, warga emas dan kumpulan berisiko tinggi akan menerima suntikan mereka dari April hingga Ogos. Vaksinasi untuk masyarakat secara amnya akan berlangsung dari Ogos hingga Februari depan.
Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Sunway Razman Hashim berkata, penggunaan pusat itu akan menyokong matlamat negara untuk mencapai 80% imuniti kelompok, menyelamatkan nyawa dan kehidupan serta membantu ekonomi negara pulih.
Kumpulan itu berkata, ia memberikan komitmen lebih daripada RM50 juta untuk menyokong program imunisasi, institusi kesihatan kerajaan dan bebas sewa kepada pekedai selepas perintah kawalan pergerakan pertama kali dilaksanakan pada Mac tahun lalu.