
“Adalah penting untuk kita mempunyai hubungan dua hala yang kukuh bukan sahaja demi kepentingan kedua-dua negara tetapi juga dunia Islam secara keseluruhan,” kata beliau kepada media Malaysia di kementeriannya.
Muhyiddin kini dalam lawatan rasmi empat hari ke negara itu bermula Sabtu lalu.
Putera Faisal berkata, kedua-kedua negara mahu menubuhkan Jawatankuasa Strategik Peringkat Tinggi yang akan membantu menginstitusikan kerjasama itu dan bukannya bergantung kepada kerjasama tertentu sahaja.
“Kami kini mempunyai proses institusi yang kukuh yang akan memberikan hasil untuk kedua-dua negara dan memastikan kita mengambil tindakan susulan mengenai peluang ini,” katanya.
Kata beliau, terdapat banyak peluang antara kedua-dua negara, contohnya, dalam bidang pelaburan, suruhanjaya bersama, pendidikan dan pembangunan saintifik.
Menurut beliau, mekanisme itu akan membantu mereka membuat susulan mengenai perjanjian dan perbincangan yang telah dipersetujui supaya dapat meneruskan momentum kukuh dalam hubungan dua hala.
Mengenai memorandum persefahaman (MoU) yang bakal dimeterai kedua-kedua negara, Putera Faisal berkata, ia termasuk Perkhidmatan Jalan Raya Makkah yang akan memudahkan jemaah haji dari Malaysia melawat negara itu dengan menyelesaikan proses imigresen Arab Saudi di Malaysia.
Menteri luar itu turut menyentuh peranan yang boleh dimainkan oleh kedua-dua negara dalam membantu umat Islam dan memerangi Islamofobia.
“Dalam dunia hari ini, kita sangat tercabar dalam semua bentuk diskriminasi, kebencian dan salah faham dan salah satu sasaran itu adalah umat Islam,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua negara ini boleh membantu masyarakat global untuk memahami bahawa Islam adalah kuasa untuk kebaikan dan keamanan.
“Dalam hal ini, Malaysia telah menjadi pemimpin kerana menonjolkan sikap toleransi dan kesederhanaan dalam mengamalkan ajaran Islam. Ini sama dengan Arab Saudi.
“Kami boleh membantu mengukuhkan mesej bahawa umat Islam bersatu demi keamanan dan kemajuan. Kami bersedia bekerjasama dengan semua orang daripada pelbagai agama dan kepercayaan,” kata beliau.