Identiti mangsa kemalangan maut di Kajang dikenal pasti, kata polis

Identiti mangsa kemalangan maut di Kajang dikenal pasti, kata polis

Sepasang suami isteri yang maut dan dua anak mereka yang cedera dalam kemalangan jalan raya di Jalan Saujana Impian, Kajang.

Kereta yang dinaiki mangsa telah bertembung dengan sebuah van dari arah bertentangan yang hilang kawalan. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Identiti sepasang suami isteri yang maut dan dua anak mereka yang cedera dalam kemalangan jalan raya di Jalan Saujana Impian, Kajang, semalam telah dikenal pasti.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor Azman Shariat berkata, mereka yang maut dalam nahas itu dikenali sebagai Remyzan Baharudin, 42, dan isteri Suzyla Ahmad Dahlan, 40.

Beliau berkata, anak pasangan itu yang cedera dikenali sebagai Raiha Syuhaida Remyzan, 13, manakala adiknya Ra’if Adam Remyzan berusia tujuh tahun, dan masing-masing mengalami kecederaan di bahagian kepala serta dirawat di Hospital Kajang.

“Bedah siasat kedua-dua mangsa kemalangan (Allahyarham Remyzan dan Suzyla) akan dibuat setelah mendapat keputusan ujian swab Covid-19 di hospital berkenaan.

“Kenderaan mangsa dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang untuk siasatan lanjut, manakala kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, pasangan suami isteri berkenaan dan dua anak mereka cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Bezza dan van di jalan berkenaan.

Dalam kejadian pada kira-kira 4 petang itu, kereta yang dinaiki mereka telah bertembung dengan sebuah van dari arah bertentangan yang hilang kawalan, sebelum merempuh penghadang jalan dan memasuki laluan mereka.

Kemalangan itu, menyebabkan Remyzan dan Suzyla meninggal dunia di tempat kejadian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.