
Timbalan Pengerusi PKR negeri, Abang Zulkifli Abang Engkeh berkata, parti berkenaan tidak akan mengisi kedudukan yang dikosongkan Ahli Parlimen Julau Larry Sng, yang mengesahkan peletakan jawatannya Ahad lalu.
Sng menggantikan Baru Bian yang meninggalkan parti itu untuk menyertai Parti Bersatu Sarawak (PSB) pada Mei tahun lalu.
“Kami tidak akan mempunyai pengerusi dalam waktu terdekat, dengan menganggap pilihan raya akan diadakan tidak lama lagi.
“Jadi kami akan tunggu pilihan raya negeri dan umum diadakan terlebih dahulu,” beliau memberitahu FMT.
Beliau berkata, perkara ini dipersetujui dalam mesyuarat baru-baru ini yang juga memutuskan Majlis Penasihat berkenaan akan dianggotai antara lima hingga tujuh ahli parti.
Bagaimanapun, senarainya belum dimuktamadkan.
Abang Zulkifli berkata, kriteria pemimpin parti hendaklah daripada keturunan Dayak yang sebelum ini ditetapkan Sng sudah tidak lagi diguna pakai.
Sng meletakkan jawatan sebagai pengerusi pada Disember dengan berkata, orang Dayak harus memimpin parti.
Bagaimanapun seminggu kemudian beliau mengubah fikiran dan dipilih semula untuk memegang jawatan tersebut.
“PKR ialah parti yang terdiri daripada berbilang bangsa. Pemimpin, anggota dan juga penyokongnya terdiri daripada latar belakang kaum yang berbeza.
“Mana-mana pemimpin yang mendapat sokongan majoriti akan memimpin parti ini.
“Tidak semestinya juga pengerusi parti selepas ini adalah wakil rakyat, tetapi pemilihan hendaklah berdasarkan sistem merit,” kata beliau.
Ketika ditanya mengenai dua pengerusi parti yang melepaskan jawatan tersebut dalam tempoh setahun, Abang Zulkifli berkata, mana-mana parti tidak boleh mengelak daripada permainan politik dan hendaklah sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
“Pemimpin datang dan pergi, tetapi pada akhirnya yang lebih penting adalah bagaimana kita berkhidmat kepada rakyat dan pengundi menjadi suara penentu,” jelas beliau selain menekankan bahawa PKR berjalan seperti biasa biarpun selepas peletakan jawatan Sng.