Pemimpin PKR gesa semua pihak bertenang berkait pertikaian Petronas

Pemimpin PKR gesa semua pihak bertenang berkait pertikaian Petronas

Bruce Yee berkata penggunaan bahasa beremosi dan populis boleh menyulitkan prosiding mahkamah serta mendedahkan pelbagai pihak kepada risiko undang-undang.

petronas-HQ
Ketua PKR Sarikei Bruce Yee berkata autonomi Sarawak bawah MA63 perlu diimbangi dengan melindungi peranan Petronas sebagai institusi negara dan pemain tenaga global. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin PKR Sarawak menyeru semua pihak bertenang dalam pertikaian membabitkan Petronas kerana retorik memecahbelahkan dan terlalu beremosi berisiko memburukkan kesan undang-undang apabila perkara itu dibawa ke mahkamah.

Ketua PKR Sarikei, Bruce Yee, berkata cubaan mempolitikkan isu itu boleh membawa kesan sebaliknya kerana ia tertakluk rangka kerja undang-undang sedia ada berkaitan operasi Petronas di Sarawak dan membabitkan pelbagai perjanjian komersial.

Beliau memetik pendirian Premier Sarawak, Abang Johari Openg, yang tidak membantah Petronas menamakan kerajaan persekutuan dan Sarawak sebagai responden dalam permohonannya di mahkamah, sambil menasihatkan semua pihak menunggu penjelasan kehakiman.

Katanya, pendirian premier itu mencerminkan penghargaan terhadap konteks sejarah, termasuk keputusan dibuat pemimpin Sarawak terdahulu.

Beliau merujuk Allahyarham Abdul Rahman Yakub, yang merupakan ketua menteri Sarawak dari 1970 hingga 1981 dan kemudian sebagai gabenor, serta bagaimana beliau antara pemimpin menyokong idea penubuhan syarikat minyak nasional, yang kemudiannya menjadi Petronas.

Menurutnya, Rahman dan pemimpin lain pada era itu tidak membantah kelulusan Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) di Parlimen, undang-undang yang memberikan pemilikan dan kawalan sumber petroleum kepada Petronas serta berkuat kuasa hampir lima dekad.

“Sepanjang tempoh itu, Petronas memeterai pelbagai perjanjian domestik dan antarabangsa berlandaskan PDA,” kata Yee sambil menambah membatalkan atau mengetepikan struktur itu melalui cara politik akan mendedahkan kerajaan serta pihak ketiga kepada cabaran undang-undang dan kontrak.

Beliau mengkritik penggunaan istilah “berpisah” dan bahasa berunsur ancaman oleh pihak tertentu kerana retorik sedemikian tidak akan menyelesaikan pertikaian serta berisiko merosakkan reputasi Sarawak sebagai negeri stabil dan bersatu padu.

Mengenai tafsiran Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, Azalina Othman Said, berhubung pemilikan minyak dan gas bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), katanya, kenyataan sedemikian menyebabkan keadaan bertambah keliru.

Sambil menekankan autonomi Sarawak bawah MA63 perlu dihormati dan dipertahankan, Yee berkata, ia perlu diimbangi dengan melindungi peranan Petronas sebagai institusi negara dan pemain tenaga global.

“Langkah berhemat adalah mengurangkan ketegangan. Elak retorik memecahbelahkan, biar mahkamah tentukan kedudukan undang-undang dan kurangkan risiko ketidakpastian berpanjangan.”

Katanya, pendekatan tenang dan berlandaskan undang-undang lebih melindungi kepentingan Sarawak, kerajaan persekutuan serta Petronas, selain mengehadkan kesan lebih luas terhadap industri minyak dan gas negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.