
Presiden Parti Bumi Kenyalang, Voon Lee Shan, berkata kenyataan Nanta dalam temu bual radio yang menzahirkan rasa tidak puas hati dengan perbalahan politik antara Malaysia Timur dan Barat, hanyalah mencerminkan kekecewaan dirasai ramai rakyat Sarawak berhubung isu yang masih belum selesai.
Voon berkata, tiada keperluan bagi Nanta meletak jawatan daripada Kabinet persekutuan, memandangkan kenyataannya tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan atau mendedahkan maklumat rahsia.
Desakan agar Nanta meletak jawatan itu datang pemimpin DAP Perak, Aziz Bari, yang merupakan seorang bekas profesor undang-undang. Beliau menyatakan seseorang menteri tidak sepatutnya menyatakan pandangan secara terbuka yang bercanggah prinsip solidariti Kabinet.
Voon berkata, komen Nanta mencerminkan kekecewaan dirasai ramai rakyat Sarawak setelah lebih enam dekad isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) masih belum diselesaikan, terutamanya dalam aspek pembangunan, autonomi, dan pengiktirafan.
“Menyuarakan rasa tidak puas hati atau menyeru refleksi terhadap isu-isu Persekutuan-Negeri yang belum selesai bukanlah satu tindakan hasutan, mahupun melanggar tanggungjawab kolektif Kabinet,” katanya menurut Dayak Daily.
Minggu lalu, dalam satu temu bual bersama radio BFM, Nanta bersuara mengenai ‘pertelingkahan berterusan dan perbalahan politik’ di Semenanjung, membuatkan beliau tertanya-tanya sama ada ‘kita sememangnya tidak ditakdirkan untuk menjadi sebuah negara yang bersatu sejak dari awal’.
Nanta berkata: “Jika kita terus bertelagah mengenai segala-galanya, maka jangan salahkan kami, jangan salahkan rakyat Sarawak. Jika anda tidak sukakan kami, pisahkan saja kami. Lupakan saja.”
Namun, beliau berkata, sebagai cucu kepada pemimpin Sarawak, Jugah Barieng, antara penandatangan MA63—beliau merasa bertanggungjawab untuk melindungi Malaysia. “Tetapi kami mesti dihormati, dan kami mesti difahami. Kami tidak mahu membuang masa dengan bertelingkah,” katanya.