Mahkamah tolak permohonan kerajaan pindah kes cabar darurat ke KL

Mahkamah tolak permohonan kerajaan pindah kes cabar darurat ke KL

Mahkamah menetapkan 30 Mac untuk mendengar permohonan kebenaran semakan kehakiman oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim.

Beberapa permohonan telah difailkan terhadap kerajaan dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berhubung pengisytiharan darurat.
JOHOR BARU:
Mahkamah Tinggi menolak permohonan Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk memindahkan ke Kuala Lumpur, permohonan kebenaran semakan kehakiman terhadap pengisytiharan darurat bagi menggantung Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Peguam Gurdial Singh Nijar berkata, pesuruhjaya kehakiman Evrol Mariette Peters menetapkan 30 Mac untuk mendengar permohonan itu yang difailkan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim.

Bulan lalu, AGC memfailkan permohonan untuk memindahkan kes berkenaan ke Kuala Lumpur supaya permohonan seumpamanya yang difailkan wakil rakyat lain juga boleh didengar bersama.

Gurdial, Razlan, Christoher Leong, Razlan Hadri Zulkifli dan Abdullah Abdul Rahman hadir bagi pihak Hassan, yang memfailkan permohonan itu pada 27 Jan bersertakan sijil perakuan segera.

Ini kerana Parlimen dan DUN digantung manakala pengisytiharan darurat serta Ordinan Darurat tidak dibentangkan di Parlimen seperti diperuntukkan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Peguam Persekutuan Suzana Atan, S Narkunavathy, Ahmad Ambuli dan Mazlina Ayob mewakili AGC. Peguam Steven Thiru dan Gregory Das pula hadir sebagai peguam pemerhati untuk Majlis Peguam.

Beberapa permohonan seumpamanya turut difailkan terhadap kerajaan dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Ini termasuk oleh Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim, penyokong Dr Mahathir Mohamad, Khairuddin Abu Hassan, saman bersama oleh Ahli Parlimen Pulai Salahuddin Ayub serta Sungai Petani Johari Abdul dan ADUN Tebing Tinggi dari DAP, Abdul Aziz Bari, selain sekumpulan NGO.

Prosiding akan didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bulan ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.