
Bagaimanapun, Tan Kim Hong, 61, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza.
Tan didakwa melakukan khianat dengan menyebabkan bahan buangan dari sebuah premis dilupuskan ke dalam alur air yang mana akan mengalir ke dalam Sungai Selangor dengan mengetahui bahawa ia akan menyebabkan susut bekalan air bagi maksud minuman manusia di sebuah premis penternakan ikan keli di Serendah, Hulu Selangor, pada 7 Dis tahun lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 30 tahun dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, timbalan pendakwa raya Mohd Asnawi Abu Hanipah tidak menawarkan jaminan memandangkan kesalahan dilakukan tertuduh tidak boleh dijamin.
“Kes ini juga telah menyebabkan kira-kira lima juta pengguna air di 1,000 kawasan di Selangor terjejas selama lapan jam. Kes ini juga adalah kes pencemaran keempat sejak Jan 2020.
“Sekiranya mahkamah ingin memberikan jaminan, mohon jaminan yang cukup tinggi bagi menunjukkan mahkamah memandang serius kes sebegini,” katanya yang mengendalikan kes bersama timbalan pendakwa raya Ashyraf Ashyari Kamaruzaman.
Peguam Zulfahami Abu Bakar yang mewakili Tan memohon jaminan rendah, mengambil kira faktor ekonomi tertuduh yang terjejas disebabkan wabak Covid-19.
“Anak guam saya bersedia untuk menyerahkan pasport kepada mahkamah dan dia juga menanggung keluarga termasuk seorang anak yang masih bersekolah,” katanya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM400,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri di balai polis berdekatan setiap 1 hari bulan dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Mahkamah kemudian menetapkan 24 Mac untuk sebutan semula kes.
Pada 24 Dis tahun lalu, Bernama melaporkan seorang pengusaha kolam ikan keli dan empat pekerjanya ditahan selepas disyaki terlibat dalam kes pencemaran air Loji Rawatan Air Sungai Selangor 1, 2 dan 3 serta Loji Rawatan Air Rantau Panjang pada 7 Dis tahun sama.