Ahli perniagaan didakwa rasuah pegawai JAS RM2,000

Ahli perniagaan didakwa rasuah pegawai JAS RM2,000

Tan Kim Seng dituduh beri suapan sebagai dorongan pegawai tak ambil tindakan.

shah alam court
Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam Awang Kerisnada Awang Mahmud tetap ikat jamin RM10,000 dan tetapkan 22 Mac untuk sebutan semula kes.
SHAH ALAM:
Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan memberi suapan tunai RM2,000 kepada seorang pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada Oktober lepas.

Tan Kim Seng, 65, didakwa secara rasuah memberikan suapan itu kepada seorang Pegawai Kawalan Kanan Alam Sekitar di JAS Putrajaya ketika itu sebagai dorongan supaya tindakan undang-undang tidak diambil terhadapnya atas kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) pada 1.20 tengah hari di Kampung Telok Gong, Klang, pada 16 Okt 2025.

Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694), yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan jika ia berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Alimi Mustapha mencadangkan ikat jamin antara RM10,000 hingga RM15,000 dengan syarat tambahan supaya tertuduh melaporkan diri di pejabat SPRM, menyerahkan pasport dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Peguam Tan Han Sam memohon jumlah jaminan dikurangkan kepada RM5,000 memandangkan tertuduh memberi kerjasama sewaktu siasatan SPRM.

Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud kemudian menetapkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin rakyat Malaysia beralamat di Kuala Lumpur atau Selangor.

Beliau turut membenarkan kesemua syarat tambahan dan menetapkan 22 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.