Pada usia 96, Dr M masih memandu, jaga makan, dan tepati waktu

Pada usia 96, Dr M masih memandu, jaga makan, dan tepati waktu

Bekas perdana menteri itu berkata dari kecil, beliau bertekad menepati waktu dalam apa jua keadaan.

PETALING JAYA: Satu hidangan ‘wajib’ untuk sambutan Tahun Baharu Cina adalah ‘sang mee’ atau mi panjang umur.

Tentunya, jika sesiapa yang mengetahui ‘petua’ umur panjang, semestinya Dr Mahathir Mohamad yang tampak jauh lebih muda berbanding usia 96 tahunnya.

Dalam wawancara khas dengan FMT, bekas perdana menteri itu menyentuh tentang reputasi pemanduannya di samping berkongsi nasihat mengenai umur panjang dan kehidupan sihat.

Walaupun dalam usia lanjut, Mahathir tetap gemar memandu sendiri pada hujung minggu, dan tidak menafikan reputasinya sebagai pemandu pantas.

“Saya mempunyai pengiring bermotosikal, dan mereka cukup pantas dan memotong kenderaan lain. Oleh kerana saya harus berada dekat dengan mereka, saya pun kena memandu pantas,” kata Mahathir.

Namun, apabila tidak diiringi pengiring, Mahathir turut terperangkap dalam kesesakan jalan raya, seperti warga kota lain.

Di tanya mengenai ‘ketaksuban’ beliau menepati waktu untuk apa jua temu janji dan majlis, Mahathir berkata nilai itu diamalkannya sekian lama.

“Sejak kecil, saya bertekad untuk tidak lewat dalam apa juga keadaan. Saya resah jika orang menanti saya dan saya tidak berada di sana.

“Jika saya harus berada di sesuatu tempat pada waktu yang ditetapkan, maka saya mesti berada di tempat itu tepat pada waktunya,” kata Mahathir.

Ditanya mengenai petua utama beliau dalam penjagaan kesihatan, Mahathir menyifatkan diet sebagai faktor paling penting.

“Saya masih ingat ada mesin penimbang automatik di Singapura ketika saya berada di sana (sebagai pelajar), dan setiap kali saya memasukkan satu sen untuk memeriksa berat badan saya. Pada kad bacaan berat badan itu tertera peringatan bahawa ‘penjagaan berat badan adalah penjagaan kesihatan’.

“Oleh itu, saya selalu berpegang pada peringatan (mesin penimbang) itu,” kata Mahathir.

Mahathir berkata semasa muda seseorang boleh “makan banyak dan tidak menjadi gemuk, tetapi apabila anda mencapai usia 40, jika anda makan banyak, kebanyakannya bertukar menjadi lemak dan anda menjadi gemuk.

“Kadang-kadang orang makan berlebihan tanpa memikirkan kesan buruknya,” kata beliau.

Berat badan berlebihan memberikan tekanan pada jantung, justeru keperluan untuk memastikan menjaga makan, kata Mahathir.

Namun, perdana menteri ke 4 dan ke 7 itu senyum sambil akur bahawa walaupun menjaga makan, “saya dua kali mengalami serangan jantung.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.