
Ketua Penerangan Ahmad Fadhli Shaari berkata melalui siasatan ia dapat merungkai setiap dakwaan dibuat sama ada isu itu benar-benar berlaku atau sebaliknya.
“Tuduhan Mahathir terhadap Muhyiddin adalah dakwaan kepada seorang bekas perdana menteri yang sudah tidak mempunyai kuasa.
“Jika polis mendapati ada kes sila siasat,” katanya kepada FMT.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas itu bagaimanapun berkata berbanding tuduhan melibatkan Muhyiddin, pendedahan dibuat bekas ketua PKR Wangsa Maju Lai Chen Heng lebih besar.
Lai didakwa mengaitkan seorang pemimpin politik negara menerima dana daripada aktiviti percutian tidak diaudit.
“Jika itu tidak disiasat dengan betul bagaimanakah keadaan rakyat boleh mempercayai negara ini sudah ditadbir dengan baik?,” soalnya.
Minggu lalu, Muhyiddin yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) menafikan dakwaan Mahathir dalam video tular bahawa beliau mencuri dan menyimpan wang parti di rumah.
Muhyiddin menjelaskan semua sumbangan kepada parti dimasukkan ke akaun parti yang diurus bendahari agung.
Pemuda Bersatu Johor mendakwa rakaman video pertemuan mereka dengan Mahathir baru‑baru ini ‘dimanipulasi’ pihak tidak bertanggungjawab demi kepentingan politik pihak tertentu.
Ketuanya Alias Rasman mendakwa video itu telah disunting dan akan mengambil tindakan terhadap pelaku yag dikenalinya itu.
Ketua Pemuda PKR Kamil Munim pula menggesa Muhyiddin membuat laporan polis, mengatakan tuduhan jenayah pecah amanah sebagai ‘sangat berat’.